--> Skip to main content

Pemandu Volvo lawan arus positif dadah

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan pemandu kereta jenis Volvo yang melawan arus sehingga melanggar kereta Perodua Myvi di Jalan Klang Lama, di sini, petang semalam, tidak mabuk sebaliknya berada di bawah pengaruh dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata lelaki berusia 35 tahun itu disahkan positif bahan terlarang berkenaan selepas hadir ke Balai Polis Jalan Bandar, awal hari ini bagi menjalani ujian saringan air kencing.

"Kita terima maklumat berhubung insiden itu yang tular di media sosial, pada jam 8.32 pagi tadi. Polis menjalankan siasatan dan berjaya mengenal pasti identiti dua pemandu kenderaan.

"Mereka kemudian hadir ke Balai Polis Jalan Bandar pada jam 12 tengah hari dan 11 pagi tadi untuk membuat laporan.

"Siasatan lanjut mendapati pemandu Volvo positif dadah hasil ujian air kencing," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkefly berkata, pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan itu secepat mungkin untuk diserahkan kepada pendakwa raya bagi tindakan susulan.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berdasarkan satu rakaman video berdurasi satu minit yang tular dalam laman sosial Instagram hari ini, pemandu Volvo itu dikatakan memandu dalam keadaan mabuk dan melanggar bahagian hadapan Myvi berwarna hitam.

Meskipun sudah berlanggar, pemandu Volvo terbabit tetap berdegil dan terus bergerak ke hadapan dan menolak kereta Perodua Myvi ke belakang.

Susulan kejadian itu, seorang wanita dipercayai penumpang kereta Myvi menjerit sebelum beberapa penunggang motosikal membantu dan menghalang tindakan pemandu Volvo berkenaan.