--> Skip to main content

Peluang pesakit kanser lahirkan zuriat

PESAKIT kanser di negara ini sering kali berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan zuriat berikutan rawatan bagi penyakit itu boleh mengganggu kesuburan, sekali gus boleh menjadikan keadaan mereka bertambah tertekan.

Namun, selaras dengan perkembangan teknologi dalam perubatan, hasrat pesakit kanser untuk menimang cahaya mata mungkin boleh menjadi kenyataan melalui Pusat Rujukan Onkofertiliti pertama di negara ini, iaitu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Pusat Rujukan Onkofertiliti itu dilaksanakan oleh Pusat Reproduktif Termaju (ARC) di HCTM dengan perkhidmatan yang ditawarkan, antaranya membabitkan 'ovarian tissue cryopreservation (OTC) atau pembekuan tisu ovari khusus kepada pesakit kanser.

Menariknya, menurut pakar perubatan di ARC, pusat itu dijangka boleh membekukan tisu ovari pesakit kanser di peringkat bayi lagi untuk disimpan sehingga 10 tahun sebelum digunakan seperti mana di Jepun yang pernah menjalankan kaedah itu kepada bayi berusia 18 bulan.

Ketua ARC, Prof Madya Dr Abdul Kadir Abdul Karim, berkata rawatan pertama kes onkofertiliti menggunakan kaedah OTC di ARC dijalankan, pada 4 Ogos lalu.

Katanya, sehingga kini pusat itu menjalankan kaedah OTC ke atas empat pesakit, pada Ogos lalu.

Dengan adanya pusat rujukan pertama ini, rakyat Malaysia sudah tidak perlu ke luar negara untuk mendapatkan rawatan itu, namun yang perlu difokuskan kini ialah aspek kesedaran dalam kalangan pesakit kanser.

Beliau berkata, pihaknya mengharapkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat, khususnya pesakit kanser bagi menggunakan perkhidmatan ini kerana ia memberi harapan buat golongan itu mendapatkan zuriat, meskipun didapati kanser.

"Pesakit yang kita peroleh adalah membabitkan kes yang dirujuk dari Unit Onkologi atau mana-mana unit kanser lain seharusnya pesakit harus segera menjalani perkhidmatan ini kerana rawatan terhadap barah termasuk kemoterapi boleh menyebabkan kesuburan terjejas.

"Sebaiknya, rawatan onkofertiliti ini dijalankan sebelum kemoterapi, tetapi kita juga tidak mahu melambatkan rawatan bagi penyakit kanser ini dan ia juga boleh dilaksanakan seiring bergantung kepada pandangan pakar.

"Kita akan berhubung dengan pakar kanser untuk melihat peluang dan pemantauan sebab kita tidak mahu ketika pesakit itu hamil, kanser datang semula...apabila dapat kepastian daripada pakar, baharu kita akan melaksanakan proses berkenaan, " katanya.

Beliau berkata, terdapat pelbagai perkhidmatan dalam aspek onkofertiliti ini termasuklah pembekuan tisu ovari atau teknik pembekuan embrio, oosit atau sperma yang boleh dibuat kepada pasangan yang sudah berkahwin atau belum.

Beliau berkata, kos di peringkat awal bagi pembiayaan rawatan ini bermula pada harga RM5,000 dengan kes dirujuk oleh pakar kanser dan bukannya secara 'walk in'.

"Proses rawatan antaranya mengambil masa sehari untuk OTC hingga dua minggu jika proses mengutip telur perlu dilakukan dengan simpanan embrio sejuk beku kebiasaannya diperbaharui oleh pesakit setiap dua tahum.

"Pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital lain yang juga memerlukan pembekuan tisu ovari boleh juga dibawa ke sini untuk dibekukan, " katanya.

Dr Abdul Kadir berkata, berdasarkan kemudahan yang ada di Malaysia, tisu sampel boleh disimpan dari tempoh 10 hingga 20 tahun sebelum digunakan.

Pakar ARC, Dr Mohd Faizal Ahmad, turut berkongsikan pengalaman pesakit pertama menjalani rawatan onkofertiliti di HCTM akibat kanser darah dialaminya.

Beliau berkata, pesakit berusia 22 tahun itu yang belum berkahwin mengakui mendapat sokongan daripada keluarga yang sama-sama mengumpulkan kos bagi rawatan berkenaan.

"Beliau berasal dari Pahang disahkan menghidapi kanser darah tahap dua dan dirujuk kepada kita oleh pakar untuk menjalani rawatan ini.

"Menariknya keluarganya amat memberikan sokongan, malah sanggup mengumpulkan duit bagi memastikan pesakit itu mempunyai harapan mendapatkan cahaya mata melalui pembekuan tisu ovari apabila berkahwin kelak, " katanya.

Beliau berkata, saranan kepada pesakit kanser adalah supaya mereka mendapatkan rawatan onkofertiliti ini seawal mungkin iaitu sebaik sahaja disahkan menghadapi kanser untuk meningkatkan peluang mereka mendapatkan zuriat.

Katanya, ia turut digalakkan golongan muda bagi menjalani rawatan berkenaan malah jika di luar negara sepert Jepun, bayi seawal usia 18 bulan turut menjalani prosedur ini.

"Pesakit kita yang akan datang juga membabitkan orang muda iaitu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan adalah baik jika kesedaran datang seawal mungkin dari peringkat usia muda, " katanya.

Dalam laporan tiga tahun ini, ARC yang dahulunya dikenali sebagai unit Medical Assisted Conception (MAC) berjaya menjalankan secara purata 300 hingga 350 kitaran bayi tabung uji (IVF) dan 300 permanian beradas (IUI) setahun.

Bilangan pesakit yang menggunakan perkhidmatan unit MAC untuk menjalani prosedur reproduktif dan temu janji di klinik menghampiri 10,000 pesakit setahun.