--> Skip to main content

Pelaku pencemaran boleh didenda RM500,000, penjara 10 tahun

Kuala Lumpur: Pelaku yang menyebabkan pencemaran air dan bau di Sungai Gong, Rawang, bakal berdepan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara 10 tahun atau sebatan.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hukuman itu tertakluk mengikut Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Menurutnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mempertimbangkan untuk menggunakan seksyen berkenaan terhadap pelaku.

"Proses tindakan penguatkuasaan dan perundangan membabitkan pelbagai agensi termasuk SPAN, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang berjalan.

"Pendakwaan kepada pihak berkenaan dijangka dijalankan minggu depan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Portal MyMetro hari ini melaporkan, empat beradik direman selepas kilang milik mereka disyaki menjadi punca pencemaran air dan bau di Sungai Gong.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin dilaporkan berkata, siasatan akan tertumpu mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan perbuatan khianat sehingga tindakan yang dilakukan akan memutuskan bekalan air untuk tujuan pertanian, makanan atau minuman kepada manusia dan haiwan atau dalam menjalankan sebarang pengeluaran.

Menurutnya, siasatan terhadap empat lelaki berusia 50 hingga 60 tahun itu kini bermula selepas perintah tahanan reman selama enam hari diperoleh ke atas mereka.