--> Skip to main content

Pelajar Thailand berhimpun tuntut rombakan sistem persekolahan

BANGKOK: Ratusan pelajar sekolah menengah di Thailand mengadakan demonstrasi bagi menuntut rombakan dan pembaharuan sistem pendidikan yang didakwa sudah ketinggalan zaman.

Demonstrasi terbaru itu adalah antara siri protes jalanan yang berlarutan sejak lebih sebulan lalu oleh beberapa kumpulan penunjuk perasaan termasuk golongan pelajar universiti dan aktivis pro-demokrasi.

Tunjuk perasaan yang bermula di kampus universiti Thailand itu diadakan hampir setiap hari sejak pertengahan Julai lalu sebagai tekanan kepada pentadbiran dan institusi diraja negara itu.

Selain reformasi pendidikan, kumpulan yang rata-rata disertai golongan muda itu menuntut rombakan sistem kerajaan pimpinan tentera dan institusi diraja negara itu.

Dalam tunjuk perasaan terbaru kelmarin, lebih 600 pelajar berkumpul di luar Kementerian Pendidikan di Bangkok, menggesa penambahbaikan sistem pendidikan negara yang sudah ketinggalan zaman.

Mereka juga menuntut kebebasan memberi pandangan di sekolah dan peraturan ketat mengenai pakaian seragam serta tingkah laku di sekolah dilonggarkan.

Tunjuk perasaan itu mula merebak ke beberapa sekolah menengah bulan lalu, dengan pelajar menunjukkan tabik tiga jari, mengambil iktibar daripada siri 'Hunger Games', semasa perhimpunan pagi, sebagai simbol gerakan pro-demokrasi.

Menteri Pendidikan, Nataphol Teepsuwan, memberitahu wartawan bahawa beliau menghormati hak pelajar.

"Isu yang dibangkitkan oleh orang muda ini adalah perkara yang kita fahami, selagi kita saling hormat menghormati dan mematuhi peraturan, semuanya boleh dipertimbangkan," katanya.

Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha, mengingatkan penunjuk perasaan bahawa tindakan mereka itu hanya mewujudkan perpecahan yang boleh membawa keruntuhan negara.

Beliau secara khusus mengutuk tindakan kumpulan itu, yang turut menuntut pembaharuan sistem diraja, yang dilarang sama sekali dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun. - AGENSI