--> Skip to main content

Pelajar maut motosikal dibonceng bertembung lori

KUANTAN: Seorang remaja perempuan maut, manakala rakannya parah apabila motosikal ditunggang mereka bertembung lori membawa muatan balak ketika pulang dari sekolah di Kilometer 14 Jalan Benta-Jerantut di Lipis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata nahas kira-kira jam 2 petang itu menyebabkan Nurin Nadhirah Ikhwan Nassir, 16, yang membonceng motosikal jenis Honda Ex-5 terbabit maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Mangsa adalah pelajar Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Garang Abdul Samad, Kuala Lipis.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal dibonceng mangsa itu cuba memotong sebuah motosikal lain menyebabkan ia masuk sedikit ke laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah lori.

"Kemalangan itu juga menyebabkan penunggang motosikal terbabit, iaitu remaja perempuan berusia 15 tahun, parah," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Azli berkata, jenazah mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat, dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA