--> Skip to main content

Pasar awam di Selangor diletakkan rating

Shah Alam: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan mengguna pakai kaedah rating ke atas 313 pasar awam di negeri itu sebagai usaha memastikan premis berkenaan sentiasa bersih dan mencapai tahap piawaian ditetapkan berkaitan keselamatan makanan.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, menerusi kaedah rating itu, pengguna akan mempunyai lebih kuasa untuk membuat pilihan sebelum berkunjung ke mana-mana pasar awam bagi mendapatkan sumber makanan mentah.

"Pengurusan pasar akan diberikan kriteria mengenai cara menjadikan premis mereka boleh meraih rating lima bintang supaya orang ramai boleh tahu, pasar mana bersih dan dijadikan contoh.

"Menerusi cara ini, pasti pengguna akan berkunjung ke pasar mempunyai rating tinggi dan ia dapat memupuk semangat kepada pengurusan pasar lain supaya memastikan premis mereka bersih hingga mencapai rating tertinggi," katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau ditemui pada majlis sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2020 peringkat negeri di Pasar Moden Seksyen 16, di sini.

Bagi mencapai hasrat berkenaan, Dr Sha'ari berkata, JKNS akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di semua daerah di Selangor bermula dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan usaha berkenaan dijangka dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Beliau berkata, rating diraih mana-mana pasar awam akan dipaparkan di media sosial rasmi JKNS untuk memberi makluman kepada pengguna.

"Selepas pasar awam, kita akan mula rating premis makanan pula memandangkan mereka terbabit secara langsung untuk memastikan tahap piawaian keselamatan makanan sentiasa dipatuhi.

"Ini kerana, menerusi aktiviti penguatkuasaan dijalankan terhadap premis makanan di Selangor sejak Januari hingga Julai lalu, sebanyak 165 premis diarah tutup atas pelbagai kesalahan dengan 78 dikenakan Notis 32B Akta Makanan 1983," katanya.

Beliau berkata, walaupun pelbagai usaha dilakukan bermula dengan memastikan sumber makanan mentah selamat, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing supaya tahap keselamatan makanan sentiasa diutamakan.

Menurutnya, orang ramai disaran supaya mengamalkan lima panduan makanan selamat ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu penjagaan kebersihan, mengasingkan makanan mentah dengan yang dimasak, masak makanan dengan betul, simpan makanan pada suhu selamat dan gunakan air serta bahan mentah yang selamat.