--> Skip to main content

Panik terperangkap bawah jambatan

Pasir Gudang: Seorang kanak-kanak lelaki berdepan detik cemas selama 15 minit apabila terpaksa berpaut pada tembok jambatan berdekatan Persiaran Seri Alam, di sini, hari ini, berikutan air sungai naik secara mendadak akibat hujan lebat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang Ibrahim Omar berkata, ketika kejadian, mangsa, Zul Rosaidi, 12, bersama seorang lagi rakan sedang menjala ikan di kawasan terbabit.

Katanya, rakan mangsa sempat naik ke darat apabila melihat air sungai mula meningkat berikutan hujan lebat.

"Ketika anggota kami tiba di lokasi kejadian, terdapat seorang mangsa yang terperangkap di bawah jambatan di Persiaran Seri Alam.

"Mangsa hanya berpaut pada tepi tembok jambatan sementara menunggu pertolongan. Rakan mangsa bertindak menghubungi bomba pada jam 3.40 petang bagi mendapatkan bantuan menyelamat.

"Bomba mengambil masa tujuh minit bagi menyelamatkan mangsa kerana keadaan air sungai yang deras pada ketika itu dan hujan renyai," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa berjaya diselamatkan mengunakan jaket keselamatan dan tali penyelamat.

Katanya, mangsa seterusnya diserahkan kepada keluarga dalam keadaan selamat sebelum dirawat oleh kakitangan ambulans Hospital Sultan Ismail.