--> Skip to main content

Pandemik didik berkomunikasi secara lestari

COVID-19 yang melanda dunia sejak penghujung 2019 sememangnya memberikan impak besar terhadap segenap aspek kehidupan manusia, termasuk aspek kesihatan, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Pelbagai berita meruntun jiwa berkenaan jumlah kes kematian, mereka yang kehilangan pekerjaan dan lainnya diterima daripada pelbagai sumber khususnya media.

Sehingga kini, masyarakat segenap pelosok dunia masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan norma baharu kehidupan bagi memastikan kelangsungan dan kesejahteraan hidup.

Di sebalik kesukaran dan liku dihadapi ketika fasa COVID-19, ada juga pandangan dan perbincangan muncul berkenaan kesan tidak langsung pandemik ini terhadap kelestarian segajat.

Tanpa kita sedari, sebenarnya COVID-19 bukan sahaja mengubah norma kehidupan manusia, namun secara tidak langsung memberi impak positif kepada kelestarian yang menekankan keseimbangan antara ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Sebagai contoh, industri pelancongan yang dahulu begitu sesak dengan pelancong di kawasan tumpuan, terhenti seketika akibat COVID-19.

Mobiliti manusia menjadi begitu perlahan dan situasi ini seolah-olah memberikan 'istirahat' yang baik khususnya buat kawasan ekopelancongan seperti pulau dan pantai daripada terus dibanjiri manusia.

Larangan pergerakan ke luar negara membuatkan lebih ramai rakyat, contohnya menikmati dan menghargai keunikan lokasi pelancongan tempatan.

Begitu juga kurangnya aktiviti pengangkutan dan industri dikatakan menyebabkan kualiti udara khususnya di kawasan bandar semakin baik.

Kewujudan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan mobiliti membuatkan masyarakat secara tidak langsung lebih banyak menghabiskan masa berkualiti dengan ahli keluarga, berbanding di luar rumah seperti kelazimannya.

Anak yang dahulu jarang berjumpa ibu bapa, kini menikmati lebih banyak masa bersama dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Corak perbelanjaan masyarakat juga berubah kepada penekanan terhadap pembelian bijak yang menumpukan pembelian terhadap keperluan berbanding kehendak, serta berfokuskan pembelian secara berhemat.

Ia berlaku susulan ketidakpastian ekonomi yang sememangnya membimbangkan pembeli sehingga lebih memilih untuk berjimat dan menyimpan wang.

Situasi ini secara tidak langsung selari konsep kepenggunaan lestari yang menekankan aspek pembelian terhadap keperluan dan menjadi pengguna yang bijak serta menegah pembaziran.

Pengajaran terbesar daripada episod COVID-19 adalah kesedaran pentingnya peranan media dan komunikasi baik dan berkesan semasa fasa getir sebegini.

Di Malaysia, dapat kita amati pelbagai informasi berkenaan COVID-19 khususnya berkenaan bahaya pandemik itu, langkah berjaga-jaga, peraturan semasa, makluman kes semasa dan sebagainya, kerap disiarkan serta dilaporkan media tempatan.

Informasi berguna sebegini amat penting untuk dijadikan panduan bagi masyarakat kerana kebanyakan kita memang kurang jelas dengan pandemik ini yang berlaku secara tiba-tiba sehingga mengubah landskap kehidupan secara drastik.

Lebih menarik, informasi berterusan khususnya berkaitan perkembangan positif penurunan kes COVID-19 daripada pihak berkredibiliti misalnya dapat membantu masyarakat untuk tidak panik, sebaliknya terus tenang dalam sama-sama menghadapinya.

Malah, pada era media sosial, kita juga cukup bertuah kerana boleh dengan mudah memperoleh banyak informasi terkini berkenaan perkembangan COVID-19 yang dikongsikan pelbagai pihak.

Bagaimanapun, harus diingat masyarakat mesti sentiasa bijak dan berhati-hati memilih informasi berkenaan COVID-19 yang dikongsikan dalam media sosial kerana risiko penyebaran berita palsu adalah tinggi.

Fenomena 'tular' dalam komunikasi masa kini juga dilihat berupaya memperkasakan peranan pemegang taruh untuk terbabit secara aktif dalam mendepani COVID-19 secara bersama-sama.

Pandemik yang entah bila akan berakhir ini sememangnya mengajar kita semua mengenai banyak perkara. Apapun, semoga COVID-19 akan segera menemui penghujungnya.

Penulis adalah Pensyarah Kanan (Komunikasi Alam Sekitar) di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia