--> Skip to main content

Pablo buat untung atas angin

KUALA LUMPUR: Insiden projek dokumentari terbitannya digantung tidak bertali menyebabkan aktor, Pablo Amirul terpaksa memikirkan alternatif lain untuk memanfaatkan dunia digital.

Jika ikutkan, Pablo atau nama sebenarnya, Amirul Hisyam Mohd Sakri sudah mula berjinak-jinak berkongsi pelbagai video dalam platform YouTube sejak 2016 lagi.

Bagaimanapun, usahanya pernah terhenti seketika. Namun, bintang filem KL Vampire itu bertindak mengaktifkan semula platform berkenaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak beberapa bulan lalu.

"Saya ada menghasilkan dokumentari untuk siaran sebuah stesen televisyen (TV) pada tempoh PKP. Bagaimanapun, seperti tidak diluluskan.

"Enggan terus menunggu, saya terfikir lebih baik buat sendiri. Jadi, saya kembali mengaktifkan platform YouTube untuk menjana pendapatan sampingan di bawah akaun Pablo Amirul Broadcasting TV (PABTV).

"Saya terbitkan program Dunia Scuba With Pablo Amirul & Friends. Sambil menyelam skuba, saya menerokai keindahan pulau yang boleh dilawati dengan harga berpatutan.

"Program ini dihasilkan ketika saya mengembara, jadi adalah kandungan dan pengisian untuk dikongsi di YouTube. Saya bukan seorang diri, sebaliknya menampilkan ramai teman artis dalam program ini," katanya kepada BH Online.

Pablo Amirul menghasilkan program Dunia Scuba With Pablo Amirul & Friends dengan menerokai keindahan pulau yang boleh dilawati dengan harga berpatutan. - Foto IG Pablo Amirul Pablo Amirul menghasilkan program Dunia Scuba With Pablo Amirul & Friends dengan menerokai keindahan pulau yang boleh dilawati dengan harga berpatutan. - Foto IG Pablo Amirul

Selain itu, Pablo menerbitkan empat episod drama pendek mengenai dunia laga ayam berjudul Ultimate Cock Fighting.

"Ia terbitan saya dan Main TV. Setiap episod berdurasi 15 minit dan dibintangi saya, Along Eyzendy dan Niezam Zaidi.

"Turut sama menyerikan drama pendek termasuklah Saiful Apek, Syazwan Zulkifly dan ramai lagi," katanya.

Untuk menjana lebih pendapatan, Pablo Amirul terbit drama pendek mengenai dunia laga ayam yang turut menampilkan Saiful Apek, Syazwan Zulkifly, Along Eyzendy dan Niezam Zaidi. Foto IG Pablo Amirul Untuk menjana lebih pendapatan, Pablo Amirul terbit drama pendek mengenai dunia laga ayam yang turut menampilkan Saiful Apek, Syazwan Zulkifly, Along Eyzendy dan Niezam Zaidi. Foto IG Pablo Amirul

Mengulas tidakkah menyesal baru tergerak menggunakan platform YouTube, Pablo bagaimanapun tidak berfikiran sedemikian. Belum terlambat berikutan ramai selebriti juga baru memiliki akaun dalam platform itu.

"Soal menyesal tak pernah ada. Lagipun, saya banyak tak tahu dan belum belajar selok belok dunia YouTube. Kekurangan dahulu perlu diperbaiki dan sekarang, pengetahuan semakin baik.

"Saya akan menyesal jika tak ambil peluang dengan platform digital yang terus mendominasi dunia. Lama kelamaan orang mungkin tak akan tengok TV dan beralih ke arah talian.

"Platform sudah ada, kenapa tak guna? Boleh buat untung atas angin. Cuma, kena pandai cari penonton sendiri. Jumlah tontonan atau rating dalam medium ini tak boleh ditipu angka. YouTube sendiri ada hak cipta dan lebih selamat digunakan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Pablo sedang menunggu tayangan filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa. Dia juga akan menjalani penggambaran telefilem untuk RTM dan drama Black musim kedua bagi platform penstriman, Viu.