--> Skip to main content

Operasi tren KTMB kembali beroperasi ikut jadual

KUALA LUMPUR: Operasi tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kembali beroperasi mengikut jadual hari ini, selepas kerja pengalihan tren tiga gerabak komuter KTMB dan Tren Elektrik (ETS) yang bergesel berhampiran Stesen Kluang, selesai.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Kamarulzaman Zainal, berkata tren komuter KTMB dan ETS itu masing-masing kini ditempatkan di Depoh Sentul dan Batu Gajah untuk siasatan.

"Dua tren itu dikeluarkan sejurus siasatan terperinci selesai di lokasi kejadian, awal pagi tadi.

"Pengalihan itu membolehkan perkhidmatan tren penumpang dan kargo kembali beroperasi mengikut jadual.

"Ia dapat dilakukan setelah pemeriksaan teliti merangkumi aspek keselamatan landasan, teknikal dan semboyan di kawasan itu selesai dijalankan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada jam 6.37 petang semalam, seorang penumpang komuter KTMB cedera, selepas kenderaan itu bergesel dengan ETS dekat Stesen Kuang. Komuter KTMB membawa 29 penumpang dan ETS membawa 93 penumpang.

Kamarulzaman berkata, hasil siasatan insiden itu akan dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan serta agensi berkaitan bagi mengenal pasti punca kejadian dan memastikan insiden sama tidak berulang.

Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi berhubung isu keselamatan penumpang, kakitangan, aset serta barangan dibawa tren.