--> Skip to main content

MQTech rancang beli 70 peratus saham Kibaru

KUALA LUMPUR: MQ Technology Bhd (MQTech) memeterai memorandum perjanjian bersama pemegang saham Kibaru Manufacturing Sdn Bhd bagi mengadakan rundingan membeli 70 peratus kepentingan dalam syarikat itu.

Kibaru yang berpangkalan di Pulau Pinang ialah pengeluar komponen getah untuk pelbagai industri termasuk industri perubatan.

Pengarah Urusan Kibaru, Ong Chong Joo, berkata pihaknya secara prinsip telah bersetuju untuk mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 daripada Fosun International Ltd, syarikat China yang merekodkan pendapatan sebanyak AS$20.7 bilion (RM85.82 bilion) pada 2019.

"Vaksin (berpotensi) ini akan diedarkan ke klinik dan hospital di rantau ASEAN berserta dengan produk semasa kami seperti kit ujian reaksi berantai polimerase (PCR).

"Pada masa ini, Kibaru berhasrat untuk menjual peralatan perubatannya kepada konglomerat gergasi ini dan mendapatkan alat ujian PCR COVID-19 dari syarikat sama," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu Pengarah Eksekutif MQTec,h Terence Cheah Eu Lee, berkata kit ujian PCR daripada Fuson itu adalah tepat dan boleh menghasilkan keputusan dalam sejam.

"Kami juga merancang untuk menubuhkan pusat ujian-vaksinasi di lokasi strategik di sekitar wilayah Asia," katanya.

Kibaru yang ditubuhkan pada 1996 telah berkembang daripada sebuah entiti penyelidikan dan pembangunan (R&D) kecil pada pertengahan 1980-an kepada pengeluar komponen getah terkemuka di Asia Pasifik.