--> Skip to main content

MPK tawar pengecualian denda lewat cukai taksiran sempena Hari Malaysia

KUANTAN: Sempena sambutan Hari Malaysia, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menawarkan promosi pengecualian denda lewat kepada pemegang harta yang tidak berkesempatan menjelaskan cukai taksiran sebelum 31 Ogos lalu.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporatnya, Norkamawati Kamal, berkata pengecualian denda lewat itu boleh dinikmati dengan syarat cukai taksiran dijelaskan sebelum atau pada 30 September ini.

Sehubungan itu, katanya pemegang harta membabitkan kediaman dan premis perniagaan yang belum menjelaskan cukai taksiran boleh berbuat demikian sepanjang tempoh promosi itu.

"Bagaimanapun, pengecualian denda lewat hanya bagi cukai taksiran semasa yang berakhir pada 31 Ogos lalu.

"Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bahagian Cukai Taksiran di talian 09-5121666," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.