--> Skip to main content

Mira Filzah Dah Kahwin, Jadi Abang Ini Minta Kerajaan Negeri Tukar Hentian Bas Ke Nama Berikut

MELAKA: Pondok menunggu bas di Alor Gajah yang pernah tular awal tahun lalu gara-gara Mira Filzah berkongsi gambarnya ketika berada di lokasi tersebut, sekali lagi menjadi bualan ramai.

Bagaimanapun, kali ini kisah pondok bas itu dijadikan jenaka pula oleh netizen yang kononnya kecewa kerana tidak dapat memenangi hati pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu yang baru melangsungkan pernikahannya di ibu negara malam Jumaat lalu.

Pemilik Facebook (FB) Zainal Abu Bakar menulis dia berharap kerajaan negeri Melaka, khusus Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dapat menukarkan papan tanda di pondok bas itu daripada Mira Filzah Was Here kepada Mira Filzah Is Married.

"Sedih hati ini bila terpandangkan pondok bas ini. Hati pun punah ranah.

"Setidak-tidaknya boleh tukarkan papan tanda itu kepada Wan Maimunah Was Here kerana saya pernah turunkan ibu Wan Maimunah di sini," tulisnya.

Tulisan statusnya itu turut tular dan mendapat lebih 2,000 reaksi serta dikongsi 104 kali selain mendapat lebih 225 komen.

Pondok menunggu bas berkenaan menjadi tular apabila Mira Filzah menerusi Instagram miliknya pada Januari tahun lalu telah berkongsi gambarnya ketika berada di situ.

Disebabkan gambar yang dikongsi Mira Filzah atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, ramai peminat mula mencari pondok bas terbabit untuk bergambar kenangan sebagaimana dilakukan pelakon itu.

Selepas gambar tersebut tular dan menjadi perhatian ramai, pondok terbabit telah dibaik pulih dan dicantikkan semula MPAG yang kemudiannya diletakkan dengan papan tanda 'Mira Filzah Was Here' sebagai tarikan.

Tourism Melaka menerusi laman Facebook turut berkongsi beberapa keping gambar yang menyaksikan beberapa kakitangan sedang melakukan kerja-kerja pembaikan.

Dengan sekali lafaz, Mira Filzah sah bergelar isteri kepada Wan Emir Astar Wan Mohammad Khairil Anuar, 30.

Mira Filzah dinikahkan bapanya, Badioezaman Ab. Khalik pada pukul 8.58 malam. 

Sumber : Utusan/Mstar