--> Skip to main content

Md Firdaus seorang yang tegas, tapi suka bergurau

PEMERGIAN Leftenan Maritim Md Firdaus Omar yang terkorban dalam kemalangan bersama anaknya petang semalam disifatkan satu kehilangan besar kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terutama bagi pengendalian operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Timbalan Pengarah Pengurusan APMM Terengganu, Mohd Sarif Hassan berkata, Allahyarham yang sudah 12 tahun berkhidmat dalam pasukan adalah individu penting yang bertanggungjawab dalam operasi SAR di Terengganu.

Katanya, Allahyarham seorang pegawai yang sangat komited dan berdedikasi serta bekerja keras dalam menjalankan tugasnya termasuk dalam SAR dan menguruskan Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

"Bila bercakap berkenaan mengenai SAR dan pasukan ini (PASKAM), Allahyarham akan ke hadapan dahulu dan bertungkus lumus menguruskan hal berkaitan.

"Mengenai karakter Allahyarham, dia serius dan tegas ketika bekerja namun pada masa sama seorang yang suka bergurau dan kehilangan Allahyarham umpama kami juga hilang ahli keluarga terdekat," katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

Mohd Sarif berkata, selain bantuan pengurusan jenazah Allahyarham dan anaknya serta hal berkaitan termasuk kebajikan, pihaknya juga bersedia memberikan sesi kaunseling kepada ahli keluarga mangsa.

"Kita akan beri bantuan daripada kaunseling dan pengurusan trauma memandangkan isteri, Siti Hawa Mohd Sebari, 30 serta dua anaknya yang berusia enam dan satu tahun masih terkejut dengan kejadian ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan pegawai APMM dan anaknya maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di simpang tiga Jalan Gong Badak berhampiran Taman Perumahan Mega, Kuala Nerus, semalam.

Dalam kejadian pada 7 malam, Md Firdaus, 35, dan anak sulungnya, Muhammad Lutfil Al-Hadi, 8, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada anggota badan.

Berita berkaitan

• Pegawai APMM, anak maut kemalangan