--> Skip to main content

Makin ramai tauke pusat hiburan cabar polis!

Kuala Lumpur: Degil dan sengaja beroperasi walaupun mengetahui larangan kerajaan.

Itu tindakan tiga pusat hiburan di Kelana Jaya dan Damansara, Selangor, yang membuka operasi kepada beratus pengunjung tanpa mengendahkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ini dibuktikan apabila seramai 227 pengunjung di premis hiburan itu ditahan dan dikenakan tindakan kompaun RM1,000 susulan tindakan polis malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya turut menahan penjaga premis iaitu seorang lelaki tempatan serta empat lelaki warga asing yang bekerja di premis berkenaan dalam serbuan itu.

"Semakan mendapati satu daripada tiga premis terbabit tidak mempunyai lesen perniagaan sah dan tidak mempunyai lesen menjual minuman keras selain menggaji pekerja warga asing tanpa permit kerja.

"Kami turut mengeluarkan sebanyak 227 kompaun kepada pengunjung tiga premis terbabit kerana melanggar peraturan mengikut Akta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.

Nik Ezanee berkata, pihaknya merampas sebuah komputer riba, sebuah mesin pengisar dan 15 botol arak pelbagai jenama dalam serbuan itu.

"Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya akan terus memantau dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi peraturan sepanjang PKPP dilaksanakan," katanya.