--> Skip to main content

MAIK kutip RM95 juta zakat dalam enam bulan

Kota Bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mencatatkan peningkatan kutipan zakat lebih RM95 juta dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 6.5 peratus berbanding RM89 juta bagi tempoh sama, tahun lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu MAIK mengagihkan lebih RM85 juta kepada penerima di seluruh Kelantan termasuk agihan zakat Program Prihatin MAIK (Covid-19) khusus dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kutipan zakat diterima membabitkan pelbagai segmen seperti zakat pendapatan, perniagaan, fitrah, wang simpanan serta lain-lain zakat seperti pertanian, padi, ternakan, emas atau perak dan saham.

"Peningkatan signifikan lebih kepada zakat fitrah disebabkan MAIK memperkenalkan tiga kadar harga iaitu RM7, RM14, dan RM21 mengikut harga beras ditetapkan dan kepercayaan orang ramai membayar zakat menerusi MAIK.

"Pelbagai program dan bantuan turut dilaksanakan MAIK sepanjang tahun bagi membantu golongan memerlukan memandangkan kami mementingkan ketelusan pengurusan wang, sekali gus memberi kepercayaan kepada pembayar zakat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Laporan Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana, di sini, hari ini.