--> Skip to main content

Lelaki gelang putih ditahan langgar PKPD

SUNGAI PETANI: Lelaki berusia 45 tahun yang memakai gelang putih ditahan polis kerana melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Emco) di Ambangan Height, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata lelaki itu ditahan di hadapan rumah kongsi 6, Bedong dan gagal memberi alasan munasabah dengan keluar dari kawasan Emco.

Beliau berkata, kejadian berlaku jam 11.45 pagi tadi ketika anggota peronda Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Bedong sedang menjalankan tugas di kawasan itu.

"Anggota terbabit ternampak lelaki itu sambil memakai gelang putih dan mendapati melanggar syarat kuarantin tanpa alasan munasabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lelaki itu mengaku keluar dari rumahnya di Taman Bayu Indah 2, Bandar Amanjaya ke rumah kongsi untuk bertemu anaknya.

Dia juga mengaku keluar rumah sejak 31 Ogos lalu jam 5 petang melalui sekatan jalan raya (SJR) 2.

"Lelaki berasal dari Ipoh, Perak dan bekerja sendiri kemudian diambil keterangan dan diberikan jaminan polis," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan/Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.