--> Skip to main content

Lebih separuh 'mangsa' terima semula bekalan air

Putrajaya: Sebanyak 51.6 peratus daripada kawasan yang terputus bekalan air di Lembah Klang kembali menerima bekalan air bermula tengah hari tadi.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga sudah mengarahkan Air Selangor untuk memaklumkan kepada pengguna berhubung jadual pemulihan bekalan mengikut kawasan selepas sistem agihan bekalan air distabilkan.

"Hal ini termasuk memenuhkan semua tangki-tangki utama yang sudah kosong, memastikan tekanan air mencukupi dan memastikan tiada 'airlock' dalam sistem perpaipan," katanya tadi.

Katanya, beliau sudah mengarahkan SPAN supaya menghubungi operator air negeri lain seperti Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd, Syarikat Air Melaka Bhd, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd dan Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd untuk turut membantu mengagihkan air kepada pengguna yang terjejas.

Menurutnya sehingga kini, Air Selangor menggerakkan 114 lori tangki termasuk sembilan dari operator negeri lain, menyediakan 22 pili awam, menempatkan 70 tangki statik di 19 pusat khidmat setempat serta mengagihkan air minuman lima liter kepada pengguna yang terjejas.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, proses pendakwaan terhadap pihak yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang sehingga menyebabkan gangguan bekalan air itu akan dilaksanakan minggu depan.

Beliau berkata pendakwaan dibuat mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

"Tindakan penguatkuasaan bersama pelbagai agensi seperti SPAN, Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pihak berkuasa tempatan sedang berjalan membabitkan kerajaan persekutuan dan negeri.

"Saya ingin tegaskan bahawa pihak kementerian tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan peruntukan perundangan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan empat pengurus kilang berusia dalam lingkungan 50 hingga 60 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran berkenaan direman enam hari bermula semalam.