--> Skip to main content

Laporan Polis Telah Dibuat Dan Notis Tuntutan Telah Dihantar. Ini Tuntutan Suharnizan Terhadap Eira Aziera

JOHOR BAHRU – Seorang Pesuruhjaya Sumpah bukan sahaja mengalami kemurungan, malah mengalami gangguan emosi akibat menjadi mangsa buli di media sosial yang menghina bentuk fizikal (body shaming) oleh personaliti media sosial, bulan lalu.

Suharnizan Md. Sidek, 37, berkata, cacian dan makian yang didakwa dilakukan personaliti terlibat iaitu Noorazira Pissal menerusi Facebook secara langsung telah menyentuh rupa fizikalnya.

"Malah wanita itu juga memaparkan beberapa gambar saya dan anak-anak tanpa kebenaran di Facebook Live yang ditonton oleh ramai pengikutnya sekali gus memberi kesan mendalam kepada kami.

"Walaupun perkara itu terjadi hampir sebulan, namun terdapat akaun media sosial lain yang memuat video itu semula sekali gus mencetuskan suasana tidak selesa kepada kami sekeluarga sehingga kini," katanya.

Terdahulu, Suharnizan dengan ditemani peguamnya, Mohd. Rasheed Hassan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan berhubung perbuatan wanita itu.

Dalam pada itu, Suharnizan berkata, kejadian itu berlaku selepas dia meninggalkan satu komen ketika wanita berkenaan melakukan Facebook Live pada pukul 10 pagi, 18 Ogos lalu.

Suharnizan bersama dua peguamnya, Mohd. Rasheed (kanan) dan Zulkafli Mohd. Nor (kiri) selepas selesai membuat laporan polis di IPD Johor Bahru Selatan hari ini.

Katanya lagi, tanpa disedari Noorazira telah membalas komen itu secara langsung di akaun Facebook milik personaliti berkenaan yang berbaur 'body shaming'.

"Oleh itu, saya telah mendapatkan nasihat peguam untuk meminta untuk membuat tuntutan sivil kepada Noorazira," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Rasheed berkata, pihaknya telah menghantar notis tuntutan sivil kepada personaliti terlibat pada hari ini.

Beliau berkata, antara tuntutan itu adalah Noorazira diminta untuk meminta maaf secara terbuka dan membayar kos pampasan serta ganti rugi dalam tempoh 14 hari.

"Jika dia gagal berbuat demikian, kita akan membawa kes ini untuk tindakan saman di mahkamah," katanya.

Sumber : KOSMO ONLINE

Sebelum itu Eira Aziera telah buat permohonan maaf secara terbuka kepada Restoren 35 dan Suharnizan Md. Sidek