--> Skip to main content

'Penguat kuasa hanya menjalankan tugas' - Presiden SAPP

AHLI politik tidak seharusnya memandang serong tindakan yang diambil agensi penguat kuasa seperti pegawai imigresen ketika menjalankan tugas.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, berkata ahli politik juga perlu mengelak publisiti media sosial yang mungkin menimbulkan sangkaan palsu mengenai motif penguat kuasa.

Sebaliknya, beliau berkata semua pihak, khususnya pengembara perlu mengetahui tanggungjawab dan cabaran yang dihadapi pegawai imigresen, kastam dan keselamatan.

"Di Sabah, sama ada seorang bekas Ketua Menteri Pulau Pinang atau bekas Ketua Menteri Sabah, penguatkuasaan undang-undang yang sama harus berlaku," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas pendedahan bekas Menteri Kewangan yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang ditahan pegawai imigresen ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), malam kelmarin.

Yong yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, bukan semua perkara berkaitan undang-undang bermotif politik, malah beliau mendedahkan perkara sama juga pernah dialaminya.

"Bercakap dari pengalaman peribadi saya, saya juga pernah ditahan oleh Imigresen Sabah di KKIA tetapi tidak pernah saya membuat keributan (bising). Pegawai hanya menjalankan tugas mereka," katanya.

Bekas Ahli Parlimen Gaya itu mendedahkan beliau pernah ditahan di Terminal 2 KKIA selepas balik dari Kuala Lumpur pada tengah malam, 8 Disember 2011.

Katanya, sebelum itu beliau bertemu dengan Tengku Razaleigh Hamzah bagi membincangkan kes mahkamah mengenai Insiden Double 6, iaitu nahas kapal terbang yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephen pada 6 Jun 1976.

"Seorang pegawai imigresen menyoal saya mengenai status Sabahan saya dan juga tempat kelahiran ayah saya (Tawau).

"Saya kemudian dibawa ke sebuah bilik kecil di mana pegawai lain meneruskan siasatan dengan komputernya.

"Kedua-dua pegawai itu tidak mengenali saya atau nama saya. Saya berasa seperti saya adalah aktivis Haris Ibrahim yang sebelumnya dilarang memasuki Sabah.

"Selepas beberapa lama, seorang pegawai kanan datang, meminta maaf dan mengatakan saya bebas untuk pergi. Kami semua bertukar salam dengan sopan," katanya.

Yong berkata, beliau tidak marah dengan tindakan terbabit, sebaliknya berasa gembira kerana pegawai imigresen Sabah sangat berhati-hati dan tegas.

Katanya, ahli politik mesti memberikan teladan yang baik dan harus menyedari bahawa tuduhan tidak disahkan yang disiarkan di media sosial boleh menyebabkan penderitaan dan halangan kepada pegawai kerajaan.

"Sebagai warga negara yang baik, masih boleh diterima untuk rakaman video atau gambar yang disyaki ada penyalahgunaan kuasa oleh pegawai kerajaan tetapi disarankan mengesahkan kecurigaan dan membuat laporan sebelum menyiarkan di media sosial.

"Ahli politik tidak boleh menjerit dianiaya secara bermotif politik setiap kali mereka disiasat. Saya telah dipanggil untuk memberikan kenyataan oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkali-kali," katanya.

Beliau berkata, pemimpin yang mengadu mengenai penganiayaan politik tidak boleh berpolitik, kerana disiasat dan dituduh adalah risiko yang biasa dalam persaingan politik.