--> Skip to main content

Krisis air lebih buruk jika pencemaran berterusan

KUALA LUMPUR: Pengguna dijangka berdepan krisis air yang lebih buruk pada masa depan sekiranya langkah penguatkuasaan serius tidak diambil bagi membendung aktiviti yang mencemarkan alam sekitar.

Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), T Saravanan berkata, ia berikutan margin rizab air terawat negara berada pada tahap rendah, selain kebergantungan kepada punca air yang terhad.

Katanya, jika keadaan ini berlarutan, ia akan menjejaskan kehidupan penduduk khususnya di kawasan kepadatan yang tinggi terutama di Lembah Klang.

"Masalahnya, sekarang kita bergantung kepada satu punca sungai saja. Apabila berlaku pencemaran, ini mengakibatkan semua kawasan terjejas.

"Justeru, kerajaan sebenarnya memerlukan teknologi baharu supaya dapat memperbanyakkan punca air dan pada masa sama meningkatkan penguatkuasaan bagi mengelak pencemaran sungai terus berlaku," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau mengulas pencemaran sungai di Rawang ketika ini yang memaksa penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang bermula Khamis lalu, menyebabkan hampir 1.2 juta akaun di 1,292 kawasan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Saravanan yang juga Presiden Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) mencadangkan supaya diwujudkan satu agensi khas mengawal selia semua isu berkaitan bekalan air negara.

"Tidak dapat dinafikan, akan berlaku saling tuding menuding mengenai pihak mana yang sepatutnya bertanggungjawab apabila berlaku sesuatu isu.

"Ia berpunca daripada aspek penguatkuasaan dan bidang kuasa yang tidak diuruskan dengan baik," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader, berkata kerajaan perlu mengenakan hukuman lebih setimpal terhadap pihak terbukti terbabit dalam aktiviti mengakibatkan pencemaran di Sungai Selangor.

"Perkara ini sudah berlarutan sejak berpuluh tahun. Walaupun kilang sama pernah dikenakan denda RM60,000, ia nampaknya tidak memadai.

"Justeru, CAP mencadangkan tindakan lebih tegas dikenakan terhadap pemilik bengkel ini, bukan saja denda tetapi hukuman penjara," katanya.

Beliau turut berharap Kementerian Alam Sekitar dan Air akan mempertimbangkan penubuhan satu jawatankuasa khusus dianggotai badan bukan kerajaan (NGO) bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung krisis air di negara ini.