--> Skip to main content

Kosovo, Serbia meterai perjanjian bersejarah di Rumah Putih

WASHINGTON: Bekas musuh perang, Kosovo dan Serbia, bersepakat memeterai perjanjian bersejarah untuk menjalinkan hubungan ekonomi, umum Presiden Donald Trump di Rumah Putih, semalam.

Dalam kejayaan diplomatik terbaru bagi pemimpin Amerika Syarikat (AS) itu, kedua-dua Kosovo dan Serbia juga bersetuju memperbaiki hubungan mereka dengan Israel di mana Kosovo akan secara rasmi mengiktiraf negara Yahudi berkenaan, manakala Serbia bakal memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

"Hari yang betul-betul bersejarah.

"Dengan memfokus kepada pewujudan peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi, kedua-dua negara itu akan berupaya meraih pencapaian sebenar dalam kerjasama ekonomi merentasi pelbagai isu," katanya.

Beliau berkata demikian sambil disaksikan Perdana Menteri Kosovo, Avdullah Hoti, dan Presiden Serbia, Aleksandar Vucic, yang turut hadir.

Trump sekali gus memuji perwakilan khas beliau, Richard Grenell, atas kejayaan menyatukan kedua-dua pihak itu, dua dekad selepas mereka terbabit peperangan berdarah yang mengorbankan 13,000 nyawa.

"Ia mengambil masa berdekad-dekad kerana tiada sesiapa yang cuba mengusahakannya sebelum ini," kata Trump berhubung perjanjian itu.

Malah, beliau menyifatkan ekonomi sebagai boleh menyatukan manusia.

"Begitu banyak pertempuran sebelum ini dan kini ada banyak kasih sayang," katanya.

Sementara itu, Vucic berkata, Trump berjaya melakukan 'usaha yang hebat'.

Bercakap kepada pemberita di Rumah Putih, beliau turut memuji komitmen Trump terhadap wilayah Balkan itu, manakala Hoti pula menyifatkannya sebagai satu langkah besar ke hadapan - walaupun Serbia mahupun Kosovo tidak saling mengiktiraf secara formal.

Presiden Kosovo, Hashim Thaci, juga menyambut baik perjanjian itu dalam satu kenyataan dengan memuji Trump kerana merealisasikan 'keamanan, pembangunan ekonomi dan masa depan Euro-Atlantik'.

Beliau berkata, Kosovo yang mengisytiharkan kemerdekaan daripada Serbia pada 2008, kini mesti meneruskan usaha memperoleh keahlian dalam organisasi antarabangsa serta pengiktirafan baharu untuk negara itu bersatu sepenuhnya pada peringkat domestik dan antarabangsa.

Butiran terperinci mengenai perjanjian itu belum didedahkan, namun ia dijangka terhad kepada jalinan ekonomi, memudahkan perdagangan dan pembukaan jalan raya, laluan kereta api serta udara antara dua bekas musuh perang berkenaan.

Rundingan itu turut membabitkan wakil agensi bantuan ekonomi utama AS, termasuk Bank Eksport-Import, yang dilihat menunjukkan sokongan kewangan AS terbabit dalam menyatukan kedua-dua negara itu.

Sebelum ini, Kesatuan Eropah mengusahakan rundingan selama hampir sedekad bagi memulihkan hubungan tegang antara Serbia dengan Kosovo, namun banyak persetujuan dicapai belum dilaksanakan.

Terbaru, pegawai AS pula melancarkan usaha ke arah itu dengan memfokus kepada aspek perniagaan dan perdagangan.

Bagaimanapun pada rundingan terbabit, Serbia menegaskan, ia tidak akan mengiktiraf Kosovo sebagai sebuah negara sepenuhnya. - AFP