--> Skip to main content

KJ tak setuju syor Tengku Razaleigh

Rembau: Semua menteri dan timbalan menteri Umno yang menyertai Kabinet Perikatan Nasional (PN) ketika ini ditentukan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu dan bukannya individu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata, sehubungan itu syor disuarakan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah meminta pemimpin parti itu berundur dari jawatan Kabinet bagi memprotes Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menerima bukan Melayu, adalah tidak terpakai.

"Keputusan kita menyerta kabinet adalah dibuat oleh MKT. Semua terikat dengan keputusan MKT dan kalau MKT buat keputusan tidak mendukung kerajaan sedia ada, maka itu adalah arahan bagi kita untuk tidak menyertai jemaah menteri.

"Tapi setakat ini, MKT adalah badan tertinggi dan yang lebih tinggi daripada mana-mana individu dalam parti.

"Kita semua kena mendukung kerajaan sedia ada. Itulah pendirian kita yang dibuat secara kolektif," katanya tadi.

Media baru-baru ini melaporkan, Tengku Razaleigh atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li mengeluarkan kenyataan bahawa Umno tidak layak berada dalam 'pakatan Melayu-Islam' yang didukung Muafakat Nasional (MN) kerana BERSATU membuka keanggotaan kepada bukan Bumiputera.

Mengenai calon Perdana Menteri pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang, Khairy yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau berkata, setakat ini tiada cadangan calon lain.

"Selagi kita mendukung kerajaan sedia ada, maka Perdana Menteri adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya pun dah keluarkan kenyataan bahawa setakat ini tiada yang lebih berwibawa daripada Muhyiddin sama ada dari Umno, Pas atau PN sendiri.

"Kita lihat dari segi penerimaan rakyat dan hasil dapatan oleh badan penilai. Itu hakikatnya," katanya.

Mengenai Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah pula, beliau berharap Umno dapat bertanding lebih banyak kerusi.

"Umno wajar menerima kerusi lebih banyak namun dari segi formula, itu terserah kepada pucuk pimpinan," katanya.