--> Skip to main content

Kilang kayu tidak serik curi air terawat SAINS

JEMPOL: Sebuah kilang kayu di Batu Kikir di sini diserbu penguatkuasa Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini selepas dikesan mencuri air.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail, berkata serbuan dijalankan terhadap kilang kayu berserta rumah pekerja selepas dikesan kali kedua melakukan aktiviti haram itu.

Katanya, premis berkenaan pernah diserbu SAINS dan SPAN pada 18 Jun lalu atas kesalahan melakukan penyambungan paip air secara haram.

"Kertas siasatan masih diteruskan pihak SPAN mengikut Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail. Foto NSTP Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail. Foto NSTP

Norzita berkata, semakan SAINS mendapati akaun premis terbabit dipotong sejak 3 Januari 2019 dan mempunyai tunggakan sebanyak RM5,742.94.

Katanya, serbuan kedua hari ini mendapati pemilik premis melakukan penyambungan tidak sah tanpa melalui sebarang meter air, menggunakan paip tekanan tinggi polyethylene bersaiz 25 milimeter bagi kegunaan harian pekerja, mencuci tayar kenderaan, kegunaan pejabat serta kawasan kilang.

"Akibat daripada perbuatan mencuri air bagi kedua-dua kes ini, SAINS kerugian berjumlah RM38,292.

"Ujian klorin dijalankan di lokasi mengesahkan bekalan air digunakan premis terbabit adalah air terawat SAINS. Justeru pihak SPAN menyita semua paip yang dipasang dan punca sambungan sebagai bahan bukti," katanya.

Norzita berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.