--> Skip to main content

Khairuddin dakwa PH, DAP sabotaj dirinya

KUALA NERUS: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menganggap beberapa isu yang membelenggu dirinya adalah sabotaj terancang daripada beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

Tegasnya, walaupun beberapa kali mengakui berlaku kekhilafan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 apabila tidak melakukan kuarantin wajib selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu, pemimpin pembangkang katanya masih membangkitkan isu itu, termasuk pada sidang Dewan Rakyat.

"Disebabkan kekhilafan itu, saya sudah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 dan dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman.

"Saya anggap diri saya menjadi mangsa sabotaj terancang bukan saja daripada pemimpin PH dan DAP, tetapi menjadi mangsa kritikan pemilik portal berita apabila memaparkan gambar lama saya bersama isteri di Belanda yang dirakamkan pada tahun 2016," katanya.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Jelajah Kasih di Masjid Nur Bakti di Kampung Wakaf Baru, di sini, hari ini.

Ketika mengulas bentuk tindakan akan dikenakan oleh pihak polis yang difahamkan sedang menunggu arahan daripada Jabatan Penguam Negara, Mohd Khairuddin enggan mengulas lanjut.

"Polis sudah mengambil kenyataan dan saya adalah saksi utama kepada kes itu, maka tidak elok saya mendahului pasukan keselamatan untuk memberi komen," katanya.

Mohd Khairuddin berkata, peguamnya akan menyerahkan surat guaman kepada portal berita yang menyiarkan gambarnya dan isteri untuk tindakan undang-undang.

"Kita sudah kenal pasti portal berita yang membuat berita palsu, termasuk menyiarkan gambar saya dan isteri. Peguam saya akan serahkan esok atau Isnin ini," katanya.