--> Skip to main content

Khairuddin dakwa jadi mangsa sabotaj terancang

Kuala Nerus: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menganggap beberapa isu yang membelenggu dirinya adalah sabotaj terancang daripada beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

Beliau berkata, walaupun beberapa kali mengakui berlaku kekhilafan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 apabila tidak melakukan kuarantin wajib selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu, tetapi pemimpin pembangkang masih membangkitkan isu itu termasuk pada persidangan parlimen.

"Disebabkan kekhilafan itu, saya sudah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 dan dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman.

"Saya anggap diri saya menjadi mangsa sabotaj terancang bukan saja daripada pemimpin PH dan DAP, tetapi turut menjadi mangsa kritikan pemilik portal berita apabila memaparkan gambar lama saya bersama isteri di Belanda yang dirakamkan pada 2016," katanya.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Jelajah Kasih di Masjid Nur Bakti di Kampung Wakaf Baru, di sini, hari ini.

Beliau berkata, peguamnya akan menyerahkan surat guaman kepada portal berita yang menyiarkan gambarnya dan isteri untuk tindakan undang-undang.

"Kita sudah kenal pasti syarikat portal berita yang membuat berita palsu termasuk menyiarkan gambar saya dan isteri, peguam saya akan serahkan esok atau Isnin ini," katanya.