--> Skip to main content

Kerajaan negeri Kelantan minta maaf isu bekalan air

Machang: Kerajaan negeri Kelantan memohon maaf kepada rakyat terjejas disebabkan masalah gangguan bekalan air susulan paip mentah jenis GRP bersaiz 1,100 milimeter (mm) pecah di Kampung Pulai Chondong, di sini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, masalah itu mungkin di luar pengetahuan dan sangat mendukacitakan kerana paip agihan untuk mengambil input air yang sepatutnya membekalkan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) di Pulai Chondong didapati bocor dan rosak.

Beliau berkata, pada peringkat awal, dia hanya menyangka ia kerosakan kecil, namun masalah gangguan bekalan air yang berlaku menyebabkan kawasan Kota Bharu Selatan dan Timur serta Machang dan Pasir Puteh terkesan.

"Disebabkan kapasitinya besar ia mengambil masa lama, namun kami menjangkakan bekalan air ini dapat dibekalkan kepada rakyat terjejas pada hari ini.

"Kami memohon maaf kepada rakyat dan berharap supaya mereka bersabar beberapa jam lagi sebelum bekalan air dapat disambung kepada mereka yang terjejas," katanya dalam sidang media selepas meninjau gerak kerja pembaikian paip pecah di Pulai Chondong, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor dan Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Datuk Dr Azuhan Mohamed.

Ahmad berkata, bagi menangani masalah sepanjang gangguan bekalan air itu, semua pihak bekerja keras untuk membaik pulih kerosakan bagi memastikan rakyat mendapat bekalan air secepat mungkin.

Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya menzahirkan ucapan penghargaan kepada negeri terbabit iaitu Selangor, Melaka, Johor, Terengganu, dan Perak yang membekalkan 11 lori tangki air kepada kawasan terjejas.