--> Skip to main content

Kelantan terima pelancong tertinggi pasca PKPB

KUALA KRAI: Kelantan muncul sebagai negeri yang menerima paling ramai pelancong dalam tempoh pasca perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) berdasarkan maklumat Persatuan Hotel Malaysia (MAH).

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) negeri, Mohd Aidil Afizie Daud, berkata kedatangan pelancong domestik itu diukur dari kadar penghunian purata (AOR) yang menunjukkan peningkatan bermula sebulan selepas perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan pada pertengahan Jun lalu.

"Antara lokasi yang menjadi tumpuan ramai termasuklah Pengkalan Kubor serta Rantau Panjang.

"Selain banyak destinasi yang sedia ada menarik untuk dikunjungi, faktor makanan dan cuti persekolahan menyumbang kepada kemasukan pelancong yang ramai," katanya ketika ditemui dalam program jelajah destinasi pelancongan menikmati durian di Agro Edufarm di Kampung Jelatok, Tanah Merah.

Mohd Aidil berkata, MOTAC memfokuskan tiga jajaran iaitu pesisir pantai, luar bandar dan jajaran jalan utama iaitu bermula dari Lojing, Gua Musang hingga taman negara dan kesemua itu dikenali sebagai kluster eko pelancongan negeri Kelantan.

Katanya, bagi jajaran luar bandar yang membabitkan kawasan bermula daripada Lebuh raya Timur Barat Jeli sehingga Jelawang, Dabong, beberapa lokasi dikenal pasti mampu menyediakan tarikan kepada pengunjung malah sudah ada pertambahan pengusaha chalet atau inap desa di sekitar kawasan berkenaan.

"Semua sedia maklum di Jelawang terdapat air terjun yang tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Stong dan Kompleks Gua Ikan di Dabong yang bertali arus menerima kunjungan orang ramai termasuk pelancong asing (sebelum PKP).

"Saya harap pemain industri pelancongan khususnya yang terdapat di sekitar kawasan itu terus bersedia untuk menerima pengunjung kerana sudah banyak tempat menyediakan lokasi berkonsepkan eko pelancongan yang ternyata berjaya menarik lebih ramai pengunjung kerana menyediakan pelbagai aktiviti lasak," katanya.