--> Skip to main content

Kelantan terima pelancong paling ramai

DESTINASI menarik, musim cuti sekolah dan syurga makanan di Kelantan, menjadi faktor ia mendahului senarai negeri yang menerima kedatangan pelancong paling ramai dalam pasca perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) juga mengesahkan kedatangan pelancong domestik yang diukur dari kadar penghunian purata (AOR) untuk negeri itu menunjukkan peningkatan bermula sebulan selepas perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan pada pertengahan Jun lalu.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) negeri Kelantan, Mohd Aidil Afizie Daud berkata, dalam tempoh itu orang ramai mengambil peluang membawa keluarga bercuti sekaligus menggalakkan industri pelancongan domestik.

"Secara keseluruhan, Kelantan antara negeri yang masih mendahului dalam menerima pelancong domestik selain Terengganu yang mana kawasan pulau di negeri itu sudah boleh beroperasi sekaligus mampu menarik pengunjung.

"Selain itu kawasan dan zon pelancongan di Pengkalan Kubor serta Rantau Panjang juga menjadi tarikan memandangkan pintu sempadan untuk ke negara jiran masih belum dibuka," katanya.

Beliau berkata, MOTAC memfokuskan tiga jajaran iaitu pesisir pantai, luar bandar dan jajaran jalan utama iaitu bermula dari Lojing, Gua Musang hingga taman negara dan kesemua itu dikenali sebagai kluster eko pelancongan negeri Kelantan.

"Bagi jajaran luar bandar yang membabitkan kawasan bermula daripada Lebuhraya Timur Barat Jeli sehingga Jelawang, Dabong, beberapa lokasi dikenalpasti mampu menyediakan tarikan kepada pengunjung malah sudah ada pertambahan pengusaha chalet atau inap desa di sekitar kawasan berkenaan.

"Semua sedia maklum di Jelawang terdapat air terjun yang tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Stong dan Kompleks Gua Ikan di Dabong yang bertali arus menerima kunjungan orang ramai termasuk pelancong asing (sebelum Perintah Kawalan Pergerakan).

"Saya harap pemain industri pelancongan khususnya yang terdapat di sekitar kawasan itu terus bersedia untuk menerima pengunjung kerana sudah banyak tempat menyediakan lokasi berkonsepkan eko pelancongan yang ternyata berjaya menarik lebih ramai pengunjung kerana menyediakan pelbagai aktiviti lasak," katanya yang turut menyertai aktiviti jelajah destinasi pelancongan bermula dari Tanah Merah sehingga ke Jelawang dan Dabong di Kuala Krai.

Dalam aktiviti selama tiga hari itu, beberapa destinasi pelancongan diteroka termasuk Agro Edufarm di Kampung Jelatok, Tanah Merah, mendaki ke Kem Baha serta meneroka beberapa gua batu kapur di Kompleks Gua Ikan.

Sementara itu, bagi pemandu pelancong alam semulajadi, Bukhari Mat, 42, situasi PKPP yang sedang dialami sekarang tetap tidak mengurangkan kehadiran pengunjung untuk meneroka alam semulajadi di Jelawang dan Dabong termasuk pelancong asing.

"Bukan sahaja pelancong tempatan, kawasan eko pelancongan di sini masih menerima kunjungan bertali arus dari warga asing terutamanya dari Eropah yang menetap di sini.

"Selain air terjun Jelawang, fenomena 'God Light' di Gua Keris menjadi tarikan utama dan boleh dikatakan setiap hari kami menerima perkhidmatan membawa pelancong untuk ke sana bagi melihat keindahannya," katanya yang sudah lebih 20 tahun berkhidmat.