--> Skip to main content

Kasih isteri sampai ke syurga

Sekinchan: "Isteri nekad meneruskan tugas di rumah walaupun pernah diserang strok sebanyak tiga kali. Namun serangan kali keempat pada 18 Ogos lalu menyebabkan dia terus terlantar hingga kini," ujar Nazri Salleh, 51.

Menurutnya, kehidupan mereka sekeluarga berubah sepenuhnya selepas isterinya, Harison Abdul Samad, 47 diserang strok di bahagian kanan badan menyebabkan isterinya itu tidak mampu bercakap.

Menurutnya, serangan strok pertama, kedua dan ketiga mampu dihadapi Harison namun serangan keempat menyebabkan dia terus terlantar di atas katil.

"Sebelum isteri jatuh sakit, dialah yang bertanggungjawab menguruskan keperluan rumah dan anak-anak. Malah, dia turut bekerja dengan mengambil upah memetik sayur di sekitar kawasan kampung.

"Sekarang, semuanya berubah. Demi isteri tercinta, saya galas tugas yang pernah dilakukan semasa dia sihat dulu dan menjaganya sepanjang masa," katanya ketika ditemui di rumahnya di Tali Air 7, Ban 3 1/2, Sungai Leman, di sini, semalam.

Nazri berkata, dia bersyukur tujuh anaknya yang berusia sembilan hingga 25 tahun memahami keadaan keluarga dan sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi.

"Ketika ini, isteri bergantung kepada susu khas dan diberi minum melalui tiub.

"Setiap tiga hari, saya akan beli susu khas berharga RM89 yang mana dia perlu minum tujuh kali sehari manakala lampin pakai buang pula berharga RM16 yang hanya mampu bertahan selama dua hari.

"Saya yang bergantung pada hasil pisang dengan pendapatan kira-kira RM 1,000 sebulan buntu di mana hendak mencari wang tambahan bagi memastikan keperluan isteri mencukupi," katanya.

Katanya, buat masa ini, dia menyara empat daripada tujuh anaknya yang masih bersekolah.

"Dalam keadaan seperti ini, saya sekeluarga berdoa supaya isteri segera sembuh selain bersyukur diberi peluang untuk menjaganya.

"Malah, saya berharap ada keajaiban dari Allah untuk melihatnya kembali normal seperti sediakan," katanya.

Orang ramai yang berhasrat menyalurkan sumbangan boleh melakukannya melalui akaun Maybank (162124334138) atas nama Harison Abd Samad atau menghubungi Nazri di talian 017-8665319.

Sementara itu, nasib menimpa keluarga Nazri mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan Ng Suee Lim yang memberi sumbangan barangan dapur bagi meringankan beban keluarga.

"Saya berharap pihak berkaitan segera membantu keluarga ini dan mendapat bantuan yang sewajarnya," katanya.