--> Skip to main content

Kanak-kanak enam tahun lemas dihanyutkan kepala air

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur: Kanak-kanak berusia enam tahun yang dihanyutkan arus deras di Sungai Kedondong, jalan lama Genting Highlands - Batang Kali, petang tadi, ditemui lemas.

Mayat mangsa, Abdul Wafi Wuuzir, ditemui pada jam 5.44 petang, tiga jam selepas operasi mencari dan menyelamat digerakkan oleh sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Kubu Baru.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata mangsa ditemui lemas di kawasan sungai yang berbatu.

"Ketika cuba membawa mangsa keluar dari lokasi penemuannya, anggota bomba berdepan kesukaran kerana air deras dan tinggi.

"Bomba terpaksa menggunakan kaedah 'River Crossing' dengan mengikat papan pengangkut pada tali. Pada masa itu kami dapati mangsa sudah tidak bernyawa," katanya kepada BH, hari ini.

Mangsa yang sedang mandi dipercayai hanyut dan lemas selepas muncul kepala air secara tiba-tiba di lokasi kejadian walaupun keadaan tidak hujan.

Mangsa dipercayai pergi ke lokasi bersama bapanya yang dikenali sebagai Abdul Rashid untuk mandi di situ. Bapa mangsa yang turut dihanyutkan air deras berjaya menyelamatkan diri.

Sementara itu, Norazam berkata, empat individu masing-masing dua lelaki termasuk bapa mangsa dan dua wanita dewasa terselamat dalam kejadian itu.

Katanya, seorang wanita yang terperangkap di dalam air berjaya diselamatkan anggota bomba, manakala seorang lagi wanita berjaya menyelamatkan diri dengan naik ke tebing sungai.