--> Skip to main content

Kadi Daerah Johor Bahru lemas ketika selam skuba

KUANTAN: Kadi Johor Bahru, Mohd Fahami Abd Samad meninggal dunia dipercayai akibat lemas semasa melakukan aktiviti selam skuba di perairan Kampung Air Batang, Pulau Tioman, Rompin kira-kira 150 kilometer dari sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Azari Miskon berkata Mohd Fahami, 45, yang beralamat di Taman Mutiara Rini, Skudai, Johor dipercayai mula melakukan aktiviti selaman sekitar tengah hari tadi.

"Kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Kampung Tekek, Pulau Tioman pada 1.57 tengah hari yang turut memaklumkan perkara itu kepada anggota polis di pulau itu.

"Pemeriksaan awal terhadap jenazah mangsa mendapati tiada kecederaan atau luka terbuka pada tubuhnya. Jenazah dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat bagi mengetahui sebab kematian," katanya ketika dihubungi di sini.

Azari berkata, pihaknya juga sudah merakam percakapan saksi, pegawai perubatan dan jurulatih menyelam bagi membantu siasatan.

Mohd Fahami adalah antara penyelam yang terbabit dalam Program Melarutkan Abu al-Quran ke laut yang berlangsung di Pulau Tinggi, Mersing, Johor pada 26 Ogos lalu. - BERNAMA