--> Skip to main content

Juri agung teliti kematian lelaki kulit hitam dalam tahanan polis

NEW YORK: Peguam Negara New York pada Sabtu memaklumkan akan membentuk juri agung bagi meneliti kematian seorang lelaki kulit hitam, Daniel Prude, yang ditutup muka dan dipaksa meniarap di atas jalan oleh polis.

Keluarga Prude berkata, lelaki itu meninggal dunia pada 30 Mac lalu selepas sistem sokongan hidupnya ditutup, tujuh hari selepas ditahan polis di Rochester.

Prude adalah antara individu Afrika Amerika yang meninggal dunia selepas berdepan dengan pihak berkuasa, hingga mencetuskan protes besar-besaran di seluruh Amerika Syarikat (AS).

Pembentukan juri agung menunjukkan tindak balas serius pihak berkuasa terhadap kematian Prude berikutan mereka memiliki kuasa membuat pendakwaan.

"Keluarga Prude dan komuniti Rochester melalui saat yang getir dan perit. Pihak kami akan membentuk juri agung secepat mungkin sebagai sebahagian siasatan kami," kata Peguam Negara New York, Letitia James dalam satu kenyataan.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas penunjuk perasaan, dengan segelintir memakai topi keledar dan membawa perisai, bertembung dengan polis ketika berdemonstrasi berkaitan kematian Prude di Rochester.

"Saya menyambut baik tindakan pantas dan tegas @NewYorkStateAG (Jabatan Peguam Negara New York) dengan membentuk juri agung. Keadilan tertangguh adalah menafikan keadilan dan penduduk New York berhak mengetahui kebenaran," kata Gabenor New York, Andrew Cuomo menerusi Twitter.

Keluarga Prude dan aktivis memaklumkan kepada umum mengenai kematian Prude pada Rabu lalu selepas mereka menerima rakaman kamera badan menerusi permohonan rekod terbuka.

Berdasarkan video itu, Prude tidak bersenjata dan tidak berpakaian di atas jalan ketika pihak berkuasa tiba.

Polis mengarahkan Prude yang mulanya patuh, untuk meniarap di atas jalan, namun mula gelisah apabila digari.

Muka Prude kemudian ditutup dan wajahnya ditekan ke atas jalan sebelum dilihat tidak sedarkan diri beberapa ketika kemudian.

Prude meninggal dunia seminggu kemudian di hospital selepas sistem sokongan hidup ditutup.

Media tempatan melaporkan, laporan autopsi menyebut kematian itu sebagai pembunuhan disebabkan 'komplikasi asfiksia (kesukaran bernafas kerana kurang oksigen dalam darah) dalam keadaan kekangan fizikal'. - AFP