--> Skip to main content

'Kami jeti alternatif, bukan jeti haram'

Marang: Bukan semua jeti beroperasi di sekitar Jeti Pelancongan Pulau Kapas adalah 'jeti haram', sebaliknya ada antaranya dijadikan sebagai jeti alternatif bagi mengatasi limpahan pengunjung di jeti utama ke Pulau Kapas.

Pengusaha bot dan pemilik Jeti Hujung Kuala, Azlan Abd Wahab, 43, tidak menafikan kewujudan pengkalan atau jeti bergerak secara haram bagi mengangkut penumpang ke Pulau Kapas.

"Semua bot beroperasi di jeti ini adalah bot persendirian dan memiliki lesen serta mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa maritim.

"Jeti ini menjadi alternatif pelancong untuk ke Pulau Kapas selepas berlaku kesesakan mendadak di jeti utama selepas pelancongan domestik dibenarkan," katanya.

Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan timbul perasaan tidak puas hati pihak tertentu dengan mendakwa jeti yang dibina sejak lebih lima tahun lalu itu bergerak secara haram.

"Bukan sahaja pelancong, malah ada golongan kenamaan menggunakan jeti ini untuk ke Pulau Kapas atau melakukan aktiviti air.

"Malah, jeti ini dijadikan sebagai lokasi pasukan keselamatan menurunkan bot sekiranya berlaku kecemasan atau kejadian tidak diingini di laut.

"Saya kesal apabila ada pihak menuduh kami beroperasi secara haram," katanya.

Azlan berkata, dia tidak pernah menggunakan medium tertentu untuk mempromosikan jeti berkenaan, sebaliknya ia menjadi pilihan agen pelancongan membawa pelancong ke jeti berkenaan kerana keadaan jeti utama sesak dengan pelancong.

Semalam, portal berita Harian Metro melaporkan kesesakan di Jeti Pelancongan Pulau Kapas, Marang susulan kemasukan pelancong secara mendadak menyebabkan wujudnya beberapa jeti haram beroperasi di sekitar jeti berkenaan.

Kewujudan jeti berkenaan bukan sahaja memberi kesan kepada pengusaha bot pelancongan di jeti utama, malah memberi impak buruk kepada pelancong kerana pengusaha bot haram didakwa tidak dilindungi insurans.

Difahamkan, terdapat lebih 10 bot haram beroperasi di sekitar jeti utama yang didakwa membawa penumpang melebihi had dibenarkan.

Berita Berkaitan