--> Skip to main content

Jenazah kadi daerah Johor Bahru selamat dikebumikan

Oleh Omar Ahmad

[email protected]

JOHOR BAHRU: Jenazah Kadi daerah Johor Bahru, Mohd Fahami Abd Samad, 45, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mount Austin di sini, jam 10 pagi tadi.

Majlis pengebumian dan bacaan talkin dipimpin Ahli Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Noh Gadot.

Allahyarham meninggalkan isteri, Fauzi Norani Madzlan, 42, dan empat anak berusia 3, 10, 16 dan 18 tahun.

Jenazah Allahyarham sebelum itu tiba di kediaman keluarganya di Taman Mutiara Rini, jam 5.30 pagi dari Rompin, Pahang, kemudian disembahyangkan lebih 1,000 jemaah di Masjid Al-Jawahir Taman Mutiara Rini.

Anak sulung Allahyarham, Amir Fuhaira, berkata ayahnya tidak menunjukkan sebarang perubahan, namun sentiasa memberi nasihat kepadanya sebagai anak tunggal lelaki agar bertanggungjawab menjaga keluarga.

Katanya, beliau terkejut dengan pemergian ayahnya kerana baru bertemu pagi Jumaat lalu sebelum bertolak ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk menyambung pengajian.

"Terkejut terima panggilan dari pakcik memaklumkan ayah sudah tiada dan meminta saya segera pulang menaiki kapal terbang, saya berada di Terengganu.

"Saya dapat rasakan kerana sejak kebelakangan ini arwah selalu cakap Amir sudah besar boleh buat semua sendiri. Malah, ketika ibu meminta ayah ke kedai untuk membeli barang, ayah akan minta saya yang pergi.

"Ayah seorang yang tegas, dia selalu pesan kepada kami supaya sentiasa utamakan ibu dari dirinya," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Mount Austin di sini.