--> Skip to main content

Iskandar Malaysia raih pelaburan RM16 bilion separuh pertama 2020

ISKANDAR MALAYSIA: Iskandar Malaysia mencatatkan pelaburan sebanyak RM16 bilion pada separuh pertama 2020, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif pelaburan yang diterima koridor ekonomi itu dari 2006 hingga Jun 2020 mencecah RM332.11 bilion.

Daripada pelaburan kumulatif keseluruhan berjumlah RM332.11 bilion itu, RM194.28 bilion atau 56 peratus adalah pelaburan kumulatif yang telah dilaksanakan di lapangan dari 2006 sehingga Jun 2020.

Sementara itu, 60 peratus atau RM199.27 bilion adalah daripada pelaburan domestik, manakala pelaburan luar negara berada pada paras 40 peratus atau RM132.84 bilion dengan China, Singapura, Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Belanda adalah negara yang mendahului senarai pelabur.

Sejumlah RM111 bilion pelaburan adalah dalam sektor yang dipromosi meliputi sektor Pengeluaran (RM79.61 bilion), Logistik (RM11.06 bilion), Pelancongan (RM8.98 bilion), Kesihatan (RM4.11 bilion), Pendidikan (RM3.29 bilion), Kewangan (RM2.85 bilion) and Kreatif (RM1.65 bilion).

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, berkata dalam suasana mencabar berdepan penularan COVID-19, Iskandar Malaysia mampu menarik minat pelabur, sekali gus membolehkannya berada dalam laluan mencapai sasaran mendapatkan pelaburan bernilai RM383 bilion menjelang 2025.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berkata, penularan wabak COVID-19 memberi ruang dan masa untuk kerajaan menilai dan mengkaji semula strategi mencapai sasaran pelaburan ketika mendepani norma baharu dan perubahan yang perlu dihadapi.

"Saya percaya Malaysia telah melakukannya dengan baik dalam mengurus pandemik COVID-19 dan ia banyak membantu negara untuk kembali pulih dalam tempoh sepantas mungkin. Ia ditambah dengan pengumuman Tujuh Ikhtiar Makmur Johor bagi memperkukuh keyakinan pelabur di Johor," katanya dalam satu kenyataan.

Inisiatif itu, katanya termasuk Majlis Ekonomi Ibrahim Johor (IJEC), Pelan Induk Digital Johor, Pembangunan Segitiga Singapura-Johor-Kepulauan Riau (SIJO-Kepri), Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Perdagangan Johor (JETCO) di Singapura, Bank Makanan Johor dan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030.

Hasni berkata, Iskandar Malaysia memiliki kelebihan dan kekuatan menerusi perkongsian dengan terdapatnya banyak rakan niaga dan pemegang taruh, lokasi strategik dan sumber tenaga insan yang telah tersedia menjadi antara faktor menarik pelaburan.

Awal tahun ini, Agensi Perdagangan dan Pembangunan Amerika Syarikat (USTDA) mengumumkan penyediaan dana geran bantuan teknikal bagi membolehkan Iskandar Malaysia menguruskan proses tranformasi perancangan dan pembangunan bandar menerusi analisis data termaju.

Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim, pula berkata pihaknya terus menemui pelabur sejak sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini bagi memperkukuh jalinan hubungan yang sudah sedia terjalin.

"Kami yakin Iskandar Malaysia kekal sebagai lokasi pelaburan menarik pasca penularan pandemik COVID-19 berdasarkan kedudukan strategiknya serta kelebihan dan kekuatan seperti tenaga insan berbakat yang telah tersedia," katanya.