--> Skip to main content

Insentif RM3 bilion untuk syarikat Singapura gaji pekerja tempatan

SINGAPURA: Republik ini memperuntukkan tambahan S$1 bilion (RM3 bilion) bagi merangsang tenaga kerja domestik dalam usaha melindungi pekerja tempatan ketika tempoh pemulihan akibat pandemik COVID-19.

Menurut paparan di laman sesawang Kementerian Sumber Manusia, insentif itu bertujuan menggalakkan lebih banyak penduduk tempatan merebut peluang kerja ditawarkan di negara pulau itu berikutan tawaran gaji lebih tinggi.

Ada antara syarikat akan menerima sehingga S$15,000 (RM45,600) jika menggaji pekerja tempatan berusia bawah 40 tahun dan S$30,000 (RM91,221) bagi pekerja berusia lebih 40 tahun.

Kerajaan juga akan membayar 25 peratus daripada S$5,000 (RM15,203) pertama gaji bulanan pekerja bawah usia 40 tahun selama setahun dan 50 peratus bagi pekerja melebihi usia 40 tahun.

Untuk layak mendapat faedah itu, syarikat perlu meningkatkan jumlah pekerja tempatan dalam tempoh enam bulan, terutama dalam sektor membabitkan gaji sekurang-kurangnya S$1,400 (RM4,257) sebulan.

Semua syarikat tempatan Singapura yang ditubuhkan pada atau sebelum 16 Ogos lalu layak memohon untuk mendapatkan insentif terbabit.

Isu pekerja tempatan menjadi tumpuan baru-baru ini dengan pihak berkuasa Singapura mengambil beberapa langkah drastik bagi menyokong bakat tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Bulan lalu, kerajaan mengumumkan peningkatan gaji minimum bagi pekerja dan pemegang S-pass, yang mana akan menyukarkan syarikat untuk menggaji pekerja asing berbanding rakyat tempatan.

Ia juga bertujuan mendorong majikan tempatan memilih tenaga kerja dalam kalangan warga Singapura.

Singapura kini berdepan kegawatan terburuk dalam sejarahnya akibat pandemik COVID-19.

Kadar pengangguran Singapura meningkat 2.9 peratus dalam suku kedua, tertinggi sejak 10 tahun lalu ketika krisis kewangan global. - AGENSI