--> Skip to main content

Inix dapat akses bekal vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR: Inix Technologies Holdings Bhd (Inix) memperoleh akses pembekalan vaksin COVID-19 daripada sebuah syarikat teknologi tinggi, kata sumber.

"Perjanjian rasmi dijangka dimeterai dalam tempoh beberapa minggu akan datang," katanya kepada BH.

Menurut sumber, Inix juga bersedia membangunkan kilang pengeluaran sarung tangan di Perak menerusi usaha sama (JV) dengan syarikat milik kerajaan negeri.

"Inix dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Perak dijangka memeterai perjanjian untuk membangunkan kilang berkapasiti 20 barisan pengeluaran sarung tangan getah perubatan tidak lama lagi.

"JV berkenaan berkomposisi 50:50, dengan GLC Perak akan menyediakan tanah dan separuh daripada modal yang diperlukan.

"Inix pula akan menyediakan baki modal termasuk pakar pengurusan dan teknologi," katanya.

Bulan lalu, Inix menjalin kerjasama dengan Lyglan Properties Sdn Bhd (Lyglan) bagi memperluaskan lagi pengeluaran sarung tangan getah untuk pasaran antarabangsa, susulan permintaan semakin tinggi produk itu dalam industri perubatan global.

Inix memeterai surat tawaran untuk kilang terletak di Kawasan Perindustrian Sendaya daripada Lyglan, yang terletak di kawasan strategik berkeluasan 20,250 meter persegi.

Sementara itu, awal bulan lalu, ia melantik hartawan berpengaruh dari Macau, Wan Kuok Koi dan sebagai pengerusinya yang baharu.

Syarikat itu turut melantik dua lagi individu berpengaruh iaitu Datuk Tan Choon Hwa dan Lee Han Keat, masing-masing sebagai naib pengerusi dan pengarah eksekutif Inix.