--> Skip to main content

Indonesia guna 'kejutan' sampaikan mesej COVID-19

JAKARTA: Pihak berkuasa menggunakan kaedah kejutan bagi menyampaikan mesej kesihatan dan memupuk kesedaran penduduk setempat berhubung pandemik COVID-19.

Bermula jam 9 pagi setiap hari, pegawai pihak berkuasa tempatan, Ricky Mulyana dan tiga rakan sekerjanya akan mengusung keranda di tengah kesibukan kota.

"Mana-mana individu yang ditahan kerana tidak memakai pelitup muka akan dimasukkan dalam keranda plastik dengan disaksikan orang awam dan pihak media merakamkan gambar.

"Ini antara cara pihak berkuasa meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai COVID-19 selepas Indonesia menyaksikan peningkatan kes positif dan jumlah kematian amat ketara di Asia Tenggara.

"Ia memang memenatkan tetapi berkesan kerana orang ramai semakin memahami bahaya COVID-19 menerusi pendekatan seperti ini," katanya ketika ditemui mengusung keranda terbabit di kawasan Cilandak, berdekatan Jakarta.

Bagaimanapun, tambah beliau, jumlah mereka yang masih belum menyedari kepentingan memakai pelitup muka masih tinggi.

Timbalan Ketua Kerajaan Tempatan Cilandak, Encu Suhani, berkata perarakan keranda itu dimulakan minggu lalu dan dijangka diteruskan sehingga 10 September ini.

Selain itu, pihak berkuasa turut menggunakan sepanduk dan alat pembesar suara menggesa penduduk mematuhi protokol kesihatan, termasuk memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

Di kawasan perkampungan dekat Jawa, pihak berkuasa menggunakan 'hantu' untuk melakukan rondaan, dengan mengharapkan kepercayaan kuno penduduk setempat akan memastikan mereka duduk di rumah.

Dron di pasang kain diterbangkan berlegar sekitar kawasan di mana arahan larangan keluar rumah kurang dipatuhi, sebagai langkah menakutkan penduduk setempat.

Setakat hari ini, Indonesia mencatatkan 187,537 kes jangkitan COVID-19 termasuk 7,832 kematian dengan kadar jangkitan hariannya terus menunjukkan peningkatan. - AGENSI