--> Skip to main content

Impak buruk selepas bercerai

KUALA LUMPUR: Segala tohmahan yang dilemparkan terhadap penyanyi, Daus Eli, 32, memberikan impak kesan buruk terhadap kerjaya.

Malah, kerjaya nyanyian penyanyi kelahiran Akademi Fantasia (AF) musim ke-8 dilihat merudum selepas dikecam menceraikan bekas isteri, Syaza Shamimi Jalaludin Khan yang ketika itu baru dua minggu melahirkan anak ketiga mereka, tahun lalu.

Daus dan Syaza Shamimi bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Bintulu pada 1 Februari 2019. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Delysha Senzela, 5, Myesha Sehrish, 3, dan Ayesha Sheraz, 1.

"Saya dikritik netizen kerana menceraikan isteri yang baru melahirkan cahaya mata. Peminat memangkah nama saya hingga kerjaya seni merudum. Fasa ini cukup mencabar, lebih lagi terpaksa mengharunginya sendirian.

"Sudahlah kesedihan kehilangan isteri dan anak, netizen pula meletakkan kesalahan sepenuhnya di atas bahu hingga saya mengalami kemurungan.

"Tidak cukup itu, keluarga diheret dalam isu perceraian, sedangkan mereka tidak terbabit. Keadaan ini membuatkan saya menjadi tambah tertekan," katanya kepada BH Online.

Daus atau nama sebenarnya, Muhd Shahril Firdaus Eli berkata, dia pernah memujuk bekas isteri mempertimbangkan keputusannya sebelum ikatan perkahwinan terlerai.

Bagaimanapun, katanya, bekas isteri tetap dengan keputusan, biarpun ibu bapa sanggup terbang dari Kuching ke Bintulu untuk memujuknya.

"Saya akui disebabkan kekhilafan memilih meluahkan masalah rumah tangga kepada orang ketiga menjadi punca perceraian. Saya menyesali dan akur kesilapan yang dilakukan, tetapi bekas isteri enggan memaafkan saya," katanya yang sedih terpaksa berjauhan dengan tiga anaknya.

Penyanyi lagu Kenapa itu berkata, dia sudah lama tidak berpeluang untuk bertemu anaknya, malah, hubungan dengan anak bongsu tidak rapat berikutan jarang bertemu.

"Kali terakhir saya bertemu anak pada November, tahun lalu. Anak-anak kini berada di Bintulu bersama bekas isteri dan keluarganya.

"Bagaimanapun, saya tak pernah lupa tanggungjawab dan hanya panggilan video dapat melepaskan kerinduan terhadap mereka.

"Demi tiga cahaya mata, saya bekerja keras untuk mencari rezeki buat mereka. Selain menjalani perniagaan makanan sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya akan tampil dengan lagu baharu," katanya.

Daus berkata, dia sanggup menangguhkan kemunculan single terbaharu berjudul

Takdir Kita selama hampir dua tahun berikutan tidak mahu dituduh sengaja membuat gimik.

"Saya redha dengan segala tohmahan. Rasanya sudah lebih setahun saya menyepikan diri. Sudah masanya saya kembali dengan single Takdir Kita.

"Diakui, single Takdir Kita saya tulis sejak awal rumah tangga berantakan. Menjalinkan hubungan jarak jauh selama lapan bulan berikutan bekas isteri bekerja di Kuala Lumpur, saya pula di Sarawak benar-benar mencabar buat kami," katanya.