--> Skip to main content

Ibu bapa 'kurung' kanak-kanak kerana takutkan COVID-19

STOCKHOLM: Tiga kanak-kanak di Sweden diselamatkan selepas dikurung selama empat bulan oleh ibu bapa mereka kerana takutkan jangkitan COVID-19.

Peguam kanak-kanak terbabit, Mikael Svegfors, memberitahu AFP bahawa mereka yang berusia dari 10 hingga 17 tahun, dilarang meninggalkan apartmen mereka antara Mac hingga awal Julai lalu.

Kanak-kanak berkenaan juga dilarang berjumpa sesama mereka dan dikunci dalam bilik masing-masing termasuk makan di sana.

Mahkamah pentadbiran di Jonkoping turut diberitahu bahawa pintu di apartmen berkenaan dipaku supaya tiada siapa dapat keluar atau masuk.

Ibu bapa kanak-kanak berkenaan menafikan mengurung mereka secara paksa dan mahu merayu keputusan mahkamah itu.

Berbanding kebanyakan negara Eropah lain, Sweden tidak melaksanakan perintah berkurung yang ketat dan sekolah terus dibuka sepanjang pandemik COVID-19 termasuk bagi pelajar bawah usia 16 tahun.

Negara Scandinavia itu adalah antara yang mencatatkan kadar kematian tertinggi berbanding jumlah penduduk akibat virus terbabit iaitu 575 kematian bagi setiap sejuta penduduk.

Kata Svegfor, ibu bapa berkenaan, yang juga migran dari negara lain, tidak fasih berbahasa Sweden dan tidak mengikuti perkembangan di negara itu.

Sebaliknya, mereka banyak bergantung kepada berita dari negara asal mereka menerusi internet, di mana langkah kawalan lebih ketat dilaksanakan. - AFP