--> Skip to main content

Havertz sertai skuad mahal Lampard

LONDON: Chelsea meningkatkan perbelanjaan musim panas kepada 200 juta pound (RM1.1 bilion) apabila menandatangani pemain Jerman Kai Havertz dari Bayer Leverkusen untuk kontrak lima tahun.

Ketibaan Havertz di Stamford Bridge pada harga dilaporkan sekitar 71 juta pound (RM391.1 juta) menunjukkan kesungguhan mereka untuk merapatkan jurang dengan Liverpool dan Manchester City di puncak Liga Perdana Inggeris.

Pemain 21 tahun itu, yang boleh beraksi di sebagai pemain tengah dan penyerang, menyertai rakan senegara Timo Werner, Hakim Ziyech, Ben Chilwell dan Thiago Silva untuk memperkuat skuad kendalian Frank Lampard.

Chelsea menamatkan saingan di tangga keempat Liga Perdana musim lalu, 33 mata di belakang juara Liverpool.

"Saya gembira dan bangga berada di sini. Bagi saya ia adalah mimpi menjadi kenyataan dapat beraksi untuk kelab besar seperti Chelsea dan saya tidak sabar untuk bertemu pemain-pemain serta jurulatih," kata Havertz.

Perpindahan Havertz mengatasi rekod pendek Werner sebagai pemain termahal Jerman yang dibeli Chelsea ketika menyertai kelab itu pada harga 53 juta euro (RM260.2 juta) Jun lalu.

Havertz turut mengatasi bekas penyerang RB Leipzig itu sebagai pemain paling muda membuat 50 dan kemudian 100 penampilan Bundesliga sejak menjadi pemain termuda Leverkusen ketika membuat penampilan sulung pada usia 17 tahun.

Dia meledak 46 gol dalam 150 perlawanan kompetitif untuk Leverkusen, termasuk 18 gol musim lalu, namun tidak mencukupi untuk membawa mereka ke Liga Juara-Juara apabila menamatkan saingan Bundesliga di tangga kelima dan tewas di suku akhir Liga Europa. - AFP