--> Skip to main content

Hasil siasatan akan dibentang kepada Kementerian Pengangkutan

Kuala Lumpur: Komuter dan Tren Elektrik (ETS) yang terbabit kemalangan dekat Stesen Kuang, Selangor, semalam, sudah dialihkan ke depoh masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Ir Kamarulzaman Zainal berkata, kedua-dua tren itu dikeluarkan sejurus siasatan di lokasi kejadian selesai awal pagi tadi.

"Pengalihan tren berkenaan membolehkan perkhidmatan tren penumpang dan kargo kembali beroperasi mengikut jadual.

"Ini dilakukan berikutan pemeriksaan teliti merangkumi aspek keselamatan landasan, teknikal dan semboyan di kawasan kemalangan selesai dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut ke atas ETS diteruskan di Depoh Batu Gajah, Perak manakala komuter di Depoh Sentul, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, hasil siasatan itu akan dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan dan agensi lain berkaitan bagi mengenal pasti punca serta mencadangkan langkah mengelak kejadian sama berulang.

Katanya, KTMB tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan khususnya membabitkan penumpang, kakitangan, aset dan barangan dibawa tren.

Portal MyMetro semalam melaporkan, seorang penumpang komuter cedera selepas tren itu bergesel dengan ETS dekat Stesen Kuang.

Dalam kejadian 6.37 petang itu, 29 penumpang komuter dan 93 penumpang ETS tidak mengalami kecederaan.

Berita berkaitan

• Seorang penumpang cedera, komuter bergesel dengan ETS