--> Skip to main content

Hari ke-100 demonstrasi anti penindasan kaum di AS bertukar ganas

OREGON: Penunjuk perasaan di Portland, Amerika Syarikat (AS) melemparkan bom api kepada pihak polis semalam, pada hari ke-100 berlangsungnya demonstrasi menentang penindasan dan kekejaman oleh pihak berkuasa di bandar itu.

Pihak polis, menerusi ciapan di Twitter, berkata sekurang-kurangnya seorang anggota polis cedera dalam tindakan ganas oleh penunjuk perasaan di Southeast Stark Steet, dekat bandar itu.

Mereka turut berkongsi video yang dimuat naik seorang wartawan New York Times di Twitter memaparkan visual bom api dilemparkan oleh seorang penunjuk perasaan yang berlari dalam keadaan kakinya turut terbakar.

Tunjuk perasaan berlaku setiap malam selama lebih tiga bulan lalu di Portland dan ada kalanya bertukar menjadi ganas susulan pergaduhan antara penunjuk perasaan dengan pihak polis serta kumpulan lain.

Polis, dalam satu kenyataan media, berkata ratusan penduduk menyertai demonstrasi itu dan mengesahkan beberapa tangkapan dibuat tetapi tidak mendedahkan jumlah suspek yang ditahan.

Dalam pada itu, satu pergaduhan tercetus antara penyokong pihak polis dan penunjuk perasaan anti penindasan kaum di Louisville.

Polis Rochester terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan perusuh.

Tunjuk perasaan besar-besaran mula tercetus dan berlarutan selepas kematian seorang warga kulit hitam, George Floyd, di Minneapolis pada 25 Mei lalu apabila lehernya ditekan menggunakan lutut oleh seorang anggota polis kulit putih.

Minggu lalu, kemunculan sebuah video memaparkan kematian seorang lelaki kulit hitam, Daniel Prude, pada 30 Mac lalu di hospital di Rochester selepas dikasari ketika ditahan pihak polis, turut memburukkan keadaan sedia ada.

Selain Floyd dan Prude, seorang wanita kulit hitam, Breonna Taylor, maut selepas ditembak lapan kali oleh beberapa pegawai polis di Louisville manakala Jacob Blake lumpuh akibat ditembak dari arah belakang pada jarak dekat.

Dua lagi anggota syerif Los Angeles mencetuskan kemarahan masyarakat kulit hitam selepas menembak mati seorang lelaki berkulit hitam, Dijon Kizzee, ketika sedang menunggang motosikal.

Semua kejadian terbabit berlaku dalam tempoh 100 hari sejak kes pertama membabitkan Floyd. - AGENSI