--> Skip to main content

'Kami harap keputusan menang-menang' - Pengusaha Musang King

PENGUSAHA kebun durian Musang King yang mengusahakan tanaman diatas tanah kerajaan dan hutan simpan di Raub berharap masalah yang timbul antara pihaknya dan kerajaan Pahang dapat diselesaikan secara baik tidak lama.

Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka) Chang Yee Chin berkata, pihaknya sudah mengadakan rundingan pertama dengan kerajaan Pahang semalam, bagi mempertahankan kebun mereka yang diusahakan mereka lebih 40 tahun lalu.

Katanya, rundingan bertujuan bagi memastikan kedua pihak mendapat keputusan secara 'menang-menang' dalam isu penerokaan tanah di beberapa kawasan di Raub.

"Rundingan kali pertama dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Raub diadakan semalam dan ia berjalan lancar dalam suasana baik, malah beberapa perkara utama dibincangkan.

"Lebih 1,000 pekebun masih berminat menguruskan kebun durian yang mereka tanam dan diharapkan jalan penyelesaian terbaik dapat diputuskan bagi kepentingan kedua belah pihak.

"Selagi ada ruang dan peluang kita akan bekerjasama dengan kerajaan Pahang untuk mendapat keputusan 'menang-menang," katanya, dihubungi di Kuantan.

Chang berkata, dia yang mewakili pekebun durian di Raub tidak berniat atau bercadang untuk memusnahkan pokok buah-buahan yang ada sebagai tanda protes memandangkan pintu rundingan dan perbincangan dengan kerajaan Pahang masih terbuka luas.

Katanya, pekebun sudah mengeluarkan banyak modal untuk mengusahakan kebun durian Musang King, amat rugi sekiranya pokok berkenaan yang kebanyakannya sudah mengeluarkan hasil dimusnahkan dengan apa juga cara sekalipun.

"Saya yakin melalui perbincangan yang diadakan tidak mustahil keputusan terbaik akan dapat dimuktamadkan demi kebaikan bersama, kami akur hasil kata putus yang akan dibuat.

"Kita masih berminat untuk menguruskan kebun durian yang ada dan kita boleh membayar cukai tanah serta sewa kepada kerajaan Pahang seperti disyaratkan.

"Hasil durian yang keluar setiap tahun bukan sahaja memberi pendapatan kepada pekebun tetapi juga kepada kerajaan negeri, saya yakin masalah ini dapat diselesaikan secara baik tidak lama," katanya.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan negeri Pahang bertindak tegas terhadap pekebun durian di Raub yang mengusahakan tanaman buah itu secara haram di atas tanah kerajaan serta kawasan hutan simpan.

Tindakan berkenaan dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram dan kawasan hutan simpan.

Antara kawasan dusun durian terkenal di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.