--> Skip to main content

Hakim, Qabil cemerlang pada Kejohanan SIC MiniGP

Oleh Sukhairi Thani

[email protected]

SEPANG: Muhammad Hakim Danish Ramli berdepan sedikit kesukaran pada sesi kelayakan Pusingan 2 Kejohanan SIC MiniGP di Litar Kart Antarabangsa Sepang (SIKC) hari ini, namun bangkit dengan bergaya apabila memenangi kedua-duanya.

Hakim yang mendominasi kelas 160cc pada pusingan pembuka tirai bulan lalu, terjatuh pada sesi kelayakan dan terpaksa berpuashati memulakan kedua-dua perlumbaan daripada petak terakhir iaitu ke-12.

Begitupun tanpa dijangka, pelumba cilik ini sekali lagi mencipta kejutan, apabila melengkapkan 18 pusingan saingan Perlumbaan 1 dengan catatan terpantas keseluruhan, 17 minit 04.229 saat.

Irfan Haykal berada di tangga kedua dengan perbezaan 8.233s di belakang Hakim manakala Amirun Haziq melengkapkan pentas podium kali ini dengan catatan keseluruhan dilakukannya, 17:14.586s.

Hakim dari Terengganu sekali lagi meletakkan dirinya dalam kelas tersendiri, apabila mengungguli Perlumbaan 2 dengan catatan 17:01.706s. Farres Putra berada di tempat kedua dengan 17:08.660s manakala Irfan di tempat ketiga, 17:08.814s.

"Syukur kepada Allah kerana memberi tempat pertama," kata Hakim yang berusia 13 tahun itu. "Perlumbaan pertama agak sengit namun perlumbaan kedua tak susah sangat untuk saya ke depan.

"Saya bermula daripada petak belakang. Saya tak begitu agresif tetapi cuba melakukan yang terbaik. Pada sesi kelayakan tadi, saya terjatuh tetapi saya terus mencuba yang terbaik (pada perlumbaan) untuk ke depan.

"Bagi saya, tidak begitu susah nak ke depan... saya tengok lampu (di permulaan) dan saya pecut dengan deras (laju)."

Sementara itu, dalam kelas 110cc, Qabil Irfan Azlan turut mengikut jejak Hakim dengan memenangi kedua-dua perlumbaan dengan catatan keseluruhan 14:49.340s (Perlumbaan 1) dan 14:54.053s (Perlumbaan 2).

"Gembira. Bagi saya susah, semuanya laju-laju tetapi saya cuba untuk lebih laju," kata Qabil yang berusia 8 tahun. "Saya cuba melakukan yang terbaik."

Pusingan 3 dijadual berlangsung di lokasi yang sama pada 25 Oktober ini manakala pusingan seterusnya adalah pada 15 November. Pusingan penutup musim 2020 dijadual berlangsung pada 6 Disember