--> Skip to main content

Guru maut, dua anak parah kemalangan

Kuantan: Dua maut manakala dua lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 164 Jalan Kuantan-Kemaman dekat Kampung Kubang Ikan, di sini, petang semalam.

Mangsa maut adalah Mohd Sharfizza Hashim, 43, dari Kampung Gong, Chukai, Kemaman dan Tan Mong Eng, 76 dari Chukai, Kemaman yang kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian .

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, dua yang parah ialah anak Mohd Sharfizza, Muhammad Zakwan, 14, dan Nur Zahraa Aisyah, 10.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada 3.46 petang apabila kereta dipandu Mohd Sharfizza yang juga guru dalam perjalanan dari arah Kemaman menghala ke Kuantan.

"Manakala Tan yang bekerja sebagai penyelia pusat asuhan kanak-kanak memandu kereta dari arah Kuantan menghala ke Kemaman.

"Setibanya di tempat kejadian, kereta dinaiki Mohd Sharfizza bersama dua anak dilanggar kenderaan Tan dari arah bertentangan yang memasuki laluan Mohd Sharfizza.

"Akibat kemalangan itu, kedua-dua pemandu meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi parah dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kamarulzaman berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.