--> Skip to main content

Giliran rakyat prihatin bantu lonjak ekonomi negara

PELAKSANAAN moratorium 1.0 yang memberikan penangguhan kepada pembayaran balik pinjaman selama enam bulan akan berakhir 30 September ini.

Langkah bijak diambil kerajaan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia dilihat memberi sedikit kelegaan bebanan hutang kewangan yang dihadapi peminjam susulan krisis COVID-19 yang melanda.

Menurut laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) di Kementerian Kewangan, jumlah keseluruhan moratorium setakat 14 Ogos lalu berada pada paras RM74.3 bilion.

Jumlah ini terdiri daripada moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan yang dimanfaatkan oleh rakyat, iaitu sebanyak RM48.3 bilion, manakala RM26 bilion lagi dimanfaatkan oleh sektor perniagaan.

Lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar selama tempoh tiga bulan adalah kesinambungan kepada moratorium 1.0 yang lebih berfokus khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan iaitu individu yang kehilangan pekerjaan pada 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan.

Individu yang masih bekerja, tetapi gaji terjejas atau berkurangan akibat COVID-19 juga adalah golongan yang akan menikmati moratorium lanjutan bersasar, sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan lanjutan.

Institusi kewangan juga memberikan komitmen untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merangkumi peniaga, penjaja atau yang bekerja sendiri yang turut terkesan akibat COVID-19.

Justeru, bagi golongan yang masih mempunyai pekerjaan dan bergaji sama, harus memainkan peranan semula sebagai peminjam dalam memberi komitmen kewangan demi kelangsungan ekonomi negara.

Komitmen yang berterusan daripada peminjam amat diperlukan bagi membekalkan aliran tunai dan modal kepada pihak bank. Situasi ini dilihat perlu bagi memastikan sistem perbankan negara kekal kukuh untuk menghadapi sebarang risiko pada masa hadapan.

Peminjam yang perlu berdepan semula dengan komitmen kewangan bermula Oktober nanti, harus peka dengan cara pengurusan kewangan yang bijak.

Peminjam atau individu mesti membendung atau mengawal segala bentuk amalan pembaziran dan mengubah corak urus tadbir kewangan ke arah lebih positif. Pengurusan kewangan ini perlu agar tidak berhadapan risiko pelbagai hutang dan akhirnya terjerat ke kancah muflis.

Peminjam atau individu patut konsisten untuk mula menyimpan 10 peratus daripada gaji untuk simpanan tetap yang sangat penting pada waktu kecemasan.

Konsistensi ini amat penting untuk melestarikan diri sebagai individu yang berdisiplin. Individu juga perlu ada tabiat menyenaraikan segala bentuk hutang dan bil tertunggak serta menetapkan matlamat untuk melangsaikan hutang berkenaan.

Segala maklumat pembayaran pinjaman perlulah dikemas kini dengan pihak institusi perbankan supaya tempoh tamat pembiayaan itu diketahui dengan jelas dan terperinci.

Sejajar tema kemerdekaan yang ke-63, 'Malaysia Prihatin', rakyat Malaysia mesti bangkit memainkan peranan masing-masing dalam membantu perkukuh ekonomi negara.

Usaha ini dianggap sangat signifikan dalam memberi impak positif ke atas usaha kerajaan melalui inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Komitmen berterusan daripada individu atau rakyat Malaysia secara amnya dianggap hubungan 'menang-menang' dalam memberi respon terbaik terhadap keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka