--> Skip to main content

Gergasi Eropah langkah kanan

PARIS: England, juara dunia Perancis, penyandang juara Portugal dan Belgium memulakan kempen Liga Negara-Negara dengan kemenangan.

England memerlukan penalti dalam masa kecederaan untuk menewaskan Iceland 1-0 manakala Perancis turut mengatasi Sweden dengan keputusan sama.

Portugal yang turun tanpa Cristiano Ronaldo membelasah Croatia 4-1 dengan pasukan ranking tertinggi Belgium menundukkan Denmark 2-0.

Dalam aksi di Porto, Ronaldo tidak diturunkan kerana kecederaan ibu jari kaki akibat sengatan lebah.

Joao Cancelo, Diogo Jota, dengan gol antarabangsa pertamanya, Joao Felix dan Andre Silva menemui sasaran untuk Portugal.

Pemain pertahanan Portugal, Joao Cancelo (kiri) meraikan jaringan bersama rakan pasukan ketika aksi bertemu Croatia di Stadium Dragao, dekat Porto. - Foto AFP Pemain pertahanan Portugal, Joao Cancelo (kiri) meraikan jaringan bersama rakan pasukan ketika aksi bertemu Croatia di Stadium Dragao, dekat Porto. - Foto AFP

Croatia tampil tanpa kelibat Luca Modric dan Ivan Rakitic yang mempunyai 233 kap antara mereka.

Bruno Petkovic meledak gol tunggal Croatia dalam masa kecederaan.

Di Copenhagen, Belgium menewaskan Denmark 2-0 untuk kekalahan pertama tuan rumah di laman sendiri dalam tempoh empat tahun dan yang pertama buat pengendali baharu Kasper Hjulmand.

Pemain Belgium, Toby Alderweireld (kiri) bersaing untuk mendapatkan bola dengan pemain Denmark, Martin Braithwaite dalam perlawanan di Copenhagen. - Foto AFP Pemain Belgium, Toby Alderweireld (kiri) bersaing untuk mendapatkan bola dengan pemain Denmark, Martin Braithwaite dalam perlawanan di Copenhagen. - Foto AFP

Belgium, tanpa Vincent Kompany yang sudah bersara dan Kevin de Bruyne, yang menyambut kelahiran anak ketiganya, mendahului permainan hanya selepas sembilan minit menerusi Jason Denayer.

Dries Mertens menambah jaringan pada minit ke-77. - AFP