--> Skip to main content

Gangguan Air: Pengguna boleh ambil tindakan undang-undang

KUALA LUMPUR: Pengguna ada hak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang melakukan tindakan tertentu sehingga menjejaskan kehidupan mereka, termasuk dalam isu pencemaran sumber air di Sungai Selangor.

Hak memfailkan saman diperuntukkan mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, tetapi proses itu mesti melalui mahkamah.

Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir, berkata akta sedia ada cukup untuk melindungi hak pengguna yang terjejas akibat krisis air, tetapi dilihat sukar untuk dimanfaatkan.

"Rakyat berdepan kekangan untuk menegakkan hak mereka. Antara halangannya, siapa hendak kumpul maklumat kes, siapa sanggup bayar kos mahkamah, peguam bagaimana hendak dilantik dan mereka juga mesti ada lokus standi," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Pakar Undang Undang Antarabangsa UKM, Prof Madya Dr Salawati Mat Basir. - Foto fail NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali Pakar Undang Undang Antarabangsa UKM, Prof Madya Dr Salawati Mat Basir. - Foto fail NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Salawati berkata, isu berkaitan hak pengguna tidak akan selesai selagi tindakan tegas daripada aspek pemantauan dan penguatkuasaan bagi menghukum individu yang melakukan jenayah alam sekitar tidak tegas.

"Dalam kes pencemaran sumber air di Selangor, kena lihat punca pencemaran itu adalah kerana banyak kilang haram. Pemantauan sepatutnya oleh kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Ramai salah faham dengan menyalahkan syarikat air atau agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedangkan yang sepatutnya menguatkuasakan undang-undang, termasuk mengesan aktiviti pencemaran oleh kilang haram ini adalah PBT.

"Maka, selagi PBT tidak bertindak secara proaktif, tidak ada mana-mana akta yang dapat melindungi pengguna," katanya.

Mengenai saranan hukuman penjara mandatori ke atas pesalah kes pencemaran sumber air, beliau melihat ia cadangan amat baik kerana dalam kes terdahulu, pesalah seperti tidak gentar dan mampu membayar denda puluhan ribu ringgit dikenakan.

Profesor Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UKM, Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman juga mempunyai pandangan senada dan menyifatkan kedua-dua akta sedia ada boleh digunakan oleh pengguna terjejas akibat gangguan bekalan air.

"Sebenarnya kerajaan lulus pelbagai akta dan undang-undang bagi melindungi hak pengguna. Ada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Perparitan 1953, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

"Akta 655 memperuntukkan kawal selia sosial, ekonomi, teknikal dan perlindungan hak pengguna apabila perkhidmatan air terganggu, sama ada akibat salah laku dan kurang penguatkuasaan atau pemantauan," katanya.

Akta 655 dan Seksyen 47 Akta Kualiti Alam Sekeliling, katanya, menyatakan boleh tuntut ganti rugi jika sesuatu segmen atau unsur alam dicemari, selain ada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Biro Pengaduan Awam dan persatuan pengguna untuk melindungi hak orang awam.

Anggota polis memeriksa sebuah kilang yang disyaki menyebabkan pencemaran Sungai Gong, Rawang yang mengakibatkan hampir 1.2 juta akaun pengguna sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air. - foto BERNAMA Anggota polis memeriksa sebuah kilang yang disyaki menyebabkan pencemaran Sungai Gong, Rawang yang mengakibatkan hampir 1.2 juta akaun pengguna sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air. - foto BERNAMA

Mengenai kerugian yang dijangka ditanggung pengguna terjejas dalam tempoh empat hari gangguan bekalan air yang dihadapi, Mohd Ekhwan berkata, anggaran kasar berdasarkan penggunaan harian berpandukan bil air mungkin tidak besar.

"Jika dilihat trend penggunaan air harian pengguna di Selangor, sekitar 225 liter sehari, jadi anggaran bil dalam tempoh empat hari hanya RM5.13. Namun, itu belum ambil kira faktor lain apabila ada pengguna terpaksa membeli air mineral kerana tidak mendapat bantuan lori tangki.

"Apa yang pasti, sekiranya pengguna industri dan komersial menuntut pampasan, pasti jumlahnya mencecah jutaan ringgit kerana kerugian besar yang terpaksa mereka tanggung akibat gangguan bekalan air," katanya.